K’jaan akan mohon mahkamah isytihar 1MDB pemilik Equanimity


(Mkini) – Kerajaan merancang untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa 1MDB Group adalah pemilik sah kapal pesiar mewah Equanimity dan hasil penjualan kapal itu akan diserahkan kepada kerajaan melalui syarikat itu.

“Tujuan kerajaan dalam prosiding (melibatkan Equanimity) ini adalah untuk meminta…satu pengisytiharan bahawa 1MDB Group adalah pemilik sah dan benifisial kapal atau pemilik bersama berdasarkan pegangan dengan mengambil kira wang dan/atau harta 1MDB Group digunakan oleh bagi pihak defendan untuk membeli kapal itu.

“Dan juga perintah mahkamah untuk pemberian hasil jualan kapal itu kepada 1MDB Group berdasarkan pemilikan terhadap kapal itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

1MDB Group adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kapal itu menjadi subjek pertikaian antara Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Indonesia selepas DOJ memfailkan saman perampasan sivil terhadapnya tahun lalu.

DOJ mendakwa ia dibeli dengan menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB yang dicuci melalui sistem kewangan Amerika Syarikat, dan ahli perniagaan Low Taek Jho menjadi pemiliknya menerusi beberapa perantara termasuk Equanimity Ltd.

Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia minggu lalu. Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos dan kekal di sana.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mencabar Jho Low untuk pulang ke Malaysia dan menuntut kapal itu jika yakin dia pemilik yang berhak ke atasnya.

 



Comments
Loading...