20 markah untuk PH


Penasihat Suaram, Dr. Kua Kia Soong berkata, sikap kerajaan yang dilihat sengaja melengah-lengahkan agenda reformasi yang sangat diimpikan rakyat adalah sesuatu perkara yang tidak boleh diterima.

Menurut beliau, sebaliknya, kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seakan-akan lebih cenderung untuk melaksanakan perkara-perkara yang tidak terkandung dalam manifesto dan bukan keutamaan seperti projek kereta nasional ketiga.

“Selain itu, kita juga melihat bahawa trend dalam membuat keputusan oleh kerajaan hari ini bersifat autokratik, seolah-olah sama seperti yang berlaku ketika era pentadbiran 1.0 Dr. Mahathir,” katanya ketika membentangkan laporan berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Sharul Aman Mohd. Saari dan Pensyarah Komunikasi University of Nottingham Kampus Malaysia, V. Gayathry.

Dalam pembentangan itu, antara isu lain yang turut diberikan perhatian adalah tempoh masa lima tahun yang diperlukan kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Rata-rata yang hadir bersetuju bahawa PH tidak lagi boleh berdolak-dalik dan menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri jika mahu kekal memerintah negara.

Dalam pada itu, Kia Soong yang juga bekas ahli Parlimen atas tiket DAP itu turut mempersoalkan ketegasan kerajaan berhubung isu kehilangan wang pembayaran balik tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ pentadbiran terdahulu.

Beliau menambah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu bukanlah sesuatu yang ringan namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tindakan diambil untuk menyiasatnya.

“Kita semua tahu cerita me­ngenai kehilangan dana GST itu tetapi kenapa sehingga kini belum ada sebarang tindakan dibuat.

“Adakah pihak berkuasa se­perti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara sudah melakukan sesuatu? Rakyat sepatutnya sudah mengetahui cerita sebenar dalam masa seminggu,” katanya.

 



Comments
Loading...