CEP: Azmin pertahan Tun M


(Malaysia Gazette) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakan Perdana Menteri yang melanjutkan peranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Katanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah tentu memerlukan pasukannya itu yang berfungsi sebagai penasihat ekonomi, kewangan dan hal-hal termasuk manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya fikir Perdana Menteri telah katakan dengan jelas bahawa CEP memainkan peranan besar untuk membuat report yang dibentangkan kepada kerajaan.

“Dan, sudah tentu Perdana Menteri memerlukan pasukannya untuk membentuk cadangan terhadap kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

CEP tambah Mohamed Azmin tidak membuat keputusan dalam isu-isu tertentu sebaliknya mencadangkannya sebelum dibincang dalam kabinet.

“Mereka (CEP) tidak membuat apa-apa keputusan.. kena tahu fungsi CEP mereka buat cadangan berdasarkan proposalyang datang daripada parti yang pelbagai dan rakyat yang prihatin jadi kita perlukan seseorang untuk kajinya.

“Tak semestinya kita bersetuju dengan semua cadangan pada akhirnya semua cadangan akan kembali kepada kabinet untuk dibincang.

“Biar Perdana Menteri putuskan saya rasa dia dah cakap dengan jelas dia perlukan lebih masa dan banyak isu masa kami datang ke Putrajaya dan Perdana Menteri perlukan lebih masa,” tambah Ahli Parlimen Gombak  itu lagi.

Beliau juga menyifatkan Tun M memerlukan lebih masa untuk menerusi CEP kerana masalah negara yang perlu diselesaikan akibat ‘kesalahan’ kerajaan terdahulu.

Mohamed Azmin juga turut menafikan keputusan Tun M itu membawa maksud kabinet sekarang tidak efisien.

CEP ditubuhkan pada 12 Mei yang lalu oleh Tun M dan sebelum itu dikatakan hanya beroperasi untuk tempoh 100 hari sahaja selepas PH merampas Putrajaya daripada BN.

 



Comments
Loading...