K’jaan kaji bina 26 SJKC – timbalan menteri
(Bernama) – Kementerian Pendidikan akan mengkaji cadangan untuk membina 10 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), menjadikan jumlah kesemuanya 26 buah sekolah seumpama itu dalam kajian.
Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata selain cadangan membina 10 lagi SJKC dan memperuntukkan enam lagi di kawasan yang ramai penduduk, beliau mendapati ada 10 SJKC yang dicadangkan yang belum terlakskana.
“Bila saya mengambil alih jawatan, saya dapati ada 10 lagi SJKC yang dijanjikan oleh kerajaan lalu antara 2012 dan 2017 tetapi belum ada tindakan.
“Jadi kami akan memutuskan yang mana lebih mendesak akan dilaksanakan dulu,” katanya pada ceramah Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Balakong di Sungai Chua di Balakong malam semalam.
Beliau menyatakan kesemua SJKC yang dicadangkan itu sama ada membabitkan sekolah baharu atau pemindahan sekolah sedia ada di beberapa negeri.
Mengenai perkara lain, Teo berkata MCA boleh belajar daripada DAP tentang bagaimana melaksanakan peranannya sebagai pembangkang dengan berkesan.
Beliau berkata MCA mestilah berani dan sedia mengakui kesalahan dilakukan oleh kerajaan dahulu, termasuk skandal 1MDB yang melibatkan dana bernilai berjuta-juta ringgit.
“Jangan hanya berani mengkritik DAP dan Pakatan Harapan. MCA seharusnya mendedahkan skandal tersebut ketika mereka masih dalam kerajaan dulu.
“Tetapi sekalipun sebagai pembangkang sekarang, mereka memilih untuk membisu dan tidak berani menegur bekas bos mereka (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya kepada orang ramai yang berhimpun.
Sementara itu, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lin mencuit hati orang ramai bila beliau berkata sifat pembangkang yang berkesan ialah tidak gentar dimasukkan ke penjara.
Katanya, pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, setiausaha agung parti yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan mendiang Karpal Singh, semuanya pernah dipenjara beberapa kali oleh kerajaan Barisan Nasional kerana menegakkan prinsip mereka semasa DAP menjadi pembangkang.