Kenapa hendak mansuh BR1M, tapi bukan tol?
Bukan sahaja janji sendiri tidak dapat dipertahankan, banyak kutukan dan sindiran terhadap BN ketika PH menjadi pembangkang kini menjadi amalan.
Timmy Say, Free Malaysia Today
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedikit demi sedikit sebelum dimansuhkan. Pengumuman ini sekali lagi melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk mengekalkan BR1M.
Sudah pasti ramai terkejut dengan pengumuman ini. Alangkah baiknya kalau Dr Mahathir mengumumkan bayaran tol akan diturunkan sedikit demi sedikit sebelum dimansuhkan dan bukannya BR1M.
Apa dosa BR1M?
BR1M sebenarnya jauh lebih baik daripada dasar subsidi yang diamalkan di zaman pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Contoh yang paling mudah ialah harga minyak.
Apabila subsidi diberikan dengan mengekalkan harga minyak, kerajaan menghabiskan wang yang banyak kepada rakyat Malaysia “bilionwan”, “Tun-wan” dan mereka yang tidak memerlukan.
Golongan ini adalah penerima subsidi yang terbanyak di dalam subsidi harga minyak kerana mereka rata-rata mempunyai kereta lebih mewah yang menggunakan lebih banyak minyak berbanding kenderaan dimiliki golongan B40.
Bayangkan kalau duit subsidi itu dapat dijimatkan lalu diberikan dalam bentuk BR1M kepada golongan B40 yang memerlukan bantuan, bukankah bantuan kerajaan dapat sampai kepada golongan sasar yang memerlukan bantuan daripada dibazirkan kepada golongan tidak memerlukan di dalam sistem subsidi.
Suatu ketika dahulu, Dr Mahathir juga pernah menggelar BR1M sebagai sejenis rasuah daripada kerajaan. Kecaman tersebut kini diulang Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan BR1M harus dihentikan berikutan ia mempunyai unsur rasuah politik bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Bukankah tuduhan ke atas BR1M terbukti tidak tepat, apabila BR1M yang sepatutnya merasuah rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) gagal menghalang kerajaan BN daripada jatuh terpelanting dalam pilihan raya umum ke-14 lalu?
Bagai jatuh ditimpa tangga, rakyat tiba-tiba terdengar Dr Mahathir berkata akan wujud cukai soda kononnya atas faktor kesihatan.
Tetapi, peliknya pada waktu yang sama, kerajaan pula mengumumkan harga gula diturunkan 10 sen bermula 1 September ini. Apakah tindakan menurunkan harga gula ini juga atas faktor kesihatan?
Apa sudah jadi dengan kerajaan PH? Bukan sahaja janji sendiri tidak dapat dipertahankan, banyak kutukan dan sindiran terhadap BN ketika mereka menjadi pembangkang kini menjadi amalan.
Memang seronok adanya BN untuk dijadikan bandingan oleh PH. Siapalah yang akan peduli kalau rakyat boleh dibutai. Asalkan rakyat buta dan suka, tidak apa. Takkan semua salah Datuk Seri Najib Razak?