Wakil rakyat PKR: Waspada politik Melayu lagi radikal di masa depan
Fahmi Fadzil bimbang sentimen perkauman lebih melampau dan radikal pada PRU15.
(FMT) – Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini bimbang kemungkinan sifat politik Melayu akan beralih menjadi lebih radikal dan rasis pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata lebih banyak sentimen rasis dan pelampau sudah semakin nyata sekarang ini.
“Saya rasa jika kita tidak berhati-hati, bila tiba PRU15, kita akan saksi meningkatnya sentimen perkauman yang lagi melampau, lagi radikal dan lagi menyisih.
“Itu salah satu kebimbangan yang besar. Bagi saya, saya melihatnya sebagai ancaman kepada negara.
“Kesempatan yang ditawarkan kepada parti-parti politik, jika mereka membuat keputusan untuk mengambil jalan itu, ditambah pula dengan lebih banyak tindakan radikal yang menimbulkan naratif bersifat menyisih, akan menjadi politik haluan kanan baharu gaya Trump.
“Ia boleh menjadi lebih teruk,” katanya di wacana “A New Malaysia: The Way Ahead” di Universiti Sunway hari ini.
Beliau menjawab soalan mengenai hala tuju politik Melayu daripada moderator Prof James Chin, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania.
Pengarah komunikasi PKR itu berkata unsur-unsur yang lebih radikal dalam pembangkang mungkin akan berpecah daripada kelompok sederhana.
“Kita perlu berhati-hati dan berwaspada dengan kelompok-kelompok itu. Orang seperti Datuk Seri Jamal Md Yunos (ketua Umno Sungai Besar) lebih menyisih dan lebih radikal. Adakah kita akan saksikan lebih ramai orang sepertinya?
“Namun, jika laporan dari Janda Baik (pemukiman Umno) adalah benar, yang Jamal perlu berehat, ini bagus untuk politik Malaysia,” katanya.
Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjawab hujah itu berkata beberapa watak yang dianggap rasis merupakan hasil penentangan politik dan oleh ia tidak dapat dielakkan.
Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata apa yang lebih penting sama ada parti membiarkan watak-watak seperti itu dan kata-kata mereka.