Azmin minta Anwar tidak bertanding presiden – Rafizi
(Utusan) – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan telah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak bertanding dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Perkara itu didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam ceramah Reformasi 2.0 di Bandar Baharu Tunjong di sini, malam tadi.
Malah Rafizi yang merupakan calon Timbalan Presiden PKR mendakwa Mohamed Azmin telah menyampaikan hasrat tersebut ketika Anwar sedang menjalani rawatan di Turki baru-baru ini.
“Saya boleh sebut dekat sini dia pergi ke Turki untuk berjumpa dengan Anwar sendiri, Anwar baru habis pembedahan, dia boleh pergi berjumpa dan berkata, kamu (Anwar) tak payah jadi presiden parti biar saya jadi presiden parti.
“Sekarang biar saya yang tanya Azmin kamu pergi jumpa Anwar sendiri minta jadi presiden jadi salahkah kawan-kawan yang lain tanya kenapa kamu tidak boleh sokong daripada awal lagi Anwar sebagai presiden,” katanya.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, menjadikan Anwar sebagai Presiden PKR adalah salah satu langkah untuk parti itu menangkat beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Katanya, pendedahan tersebut merupakan latar belakang kepada tindakan kumpulannya yanh mempersoalkan kesetiaan Mohamed Azmin terhadap Anwar serta kemungkinan wujud agenda tersembunyi.
“Saya membuat pendedahan ini kerana mahu memberikan keadilan kepada sahabat-sahabat saya apabila mereka diherdik di luar sedangkan latar belakangnya Azmin memang pergi jumpa Anwar dan sehingga jam-jam terakhir kita tidak tahu dia nak cabar atau tidak (presiden).
“Tambah pula saingan kami (kumpulan Mohamed Azmin) ada yang awal lagi mengeluarkan kenyataan seperti parti ini bukan parti anak beranak dan perlu ada pertandingan,” katanya.
Pada pemilihan PKR bulan depan, Mohamed Azmin dicabar oleh Rafizi untuk jawatan Timbalan Presiden.