Samsuri: Hukuman sebat syariah lebih ringan daripada rotan guru disiplin
(FMT) – Pelaksanaan hukuman sebat mengikut syariah terhadap pasangan lesbian di Terengganu baru-baru ini adalah lebih ringan berbanding hukuman sebat dilakukan guru disiplin di sekolah, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menegaskan hukuman sebat mengikut syariah hanya bertujuan mendidik masyarakat tanpa mencederakan pesalah, beliau berkata ia tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan dan dianggap negatif.
“Saya tidak pasti sama ada pihak yang tidak bersetuju dengan perkara ini tahu atau tidak bagaimana hukuman sebat itu dijalankan.
“Sepatutnya mereka mendapatkan maklumat yang tepat, baca dengan mata hati kaedah hukuman sebat dijalankan kerana realitinya ia tidak teruk seperti digambarkan.
“Malah saya sendiri berbual dengan mereka yang hadir dan menyaksikan sendiri hukuman sebat itu di depan mata dan mereka katakan ia lebih ringan berbanding hukuman sebat di sekolah.
“Jangan samakan sebat syariah dengan sebat sivil kerana ia jauh berbeza…beratus kali beza dengan sebatan mahkamah sivil,” katanya mengulas kritikan beberapa pihak berhubung hukuman itu.
Pada 3 Sept lepas, pasangan lesbian berumur 22 dan 32 tahun itu dihukum sebat 6 kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu, selain didenda RM3,300 atau 4 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Ahmad Samsuri berkata hukuman sebat di Terengganu bukanlah pertama kali dilaksanakan kerana Pahang, Kelantan dan Sabah pernah melaksanakannya sebelum ini.
“Hukuman dilaksanakan agensi kerajaan pusat, Jabatan Penjara… ada tatacaranya bukan secara hentam keromo sahaja.
“Hukuman yang berlaku dalam tempoh 5 minit pada hari tersebut menghantar perasaan takut, menimbulkan kegerunan ke hati masyarakat bahawa mereka tidak boleh melakukan perkara songsang ini. Kita juga berdoa agar budaya ini tidak wujud lagi di Terengganu,” katanya.