‘Tukar tarikh pemilihan PKR bukan kosnpirasi bantu calon’
(Bernama) – Perubahan tarikh mengundi bagi pemilihan PKR 2018 bukan konspirasi untuk membantu kemenangan mana-mana calon, kata Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Ismail Yusop.
Sebaliknya, beliau berkata anjakan tarikh pengundian berkenaan bertujuan bagi memastikan maklumat daftar pemilih benar-benar bersih dan tepat.
“Ia bagi mengelak sebarang masalah pada hari pengundian, seperti kesalahan maklumat sehingga membuatkan pemilih tidak dapat mengundi,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail berkata proses bagi memastikan ketepatan daftar pemilih sedang dilakukan selain simulasi dan taklimat mengenai e-undi juga sedang berlangsung di seluruh negara.
Pengundian bagi peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang sebelum ini dijadual pada 14 Sept hingga 13 Okt depan dijadual semula pada 22 Sept hingga 28 Okt.
Ia akan bermula dengan Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Sept; diikuti Perak dan Perlis pada 23 Sept; Negeri Sembilan dan Melaka (29 Sept); Johor (30 Sept); Kelantan dan Terengganu (5 Okt); Pahang (6 Okt); Wilayah Persekutuan (7 Okt); Selangor (13, 14 dan 21 Okt); Sarawak (20 Okt) dan Sabah pada 27 dan 28 Okt.
Sementara itu, Ismail berkata sebahagian besar negeri termasuk Sabah dan Sarawak telah mengadakan taklimat sistem e-undi dan rata-rata pemilih menyatakan kelegaan serta berpuas hati setelah mengetahui perjalanan sistem yang pertama kali dilaksanakan itu.
“Sehingga tarikh mengundi kita galakkan mana-mana negeri dan pihak mahupun calon yang belum jelas mengenai sistem ini supaya menganjurkan taklimat dan kita bersedia untuk turun bagi memberi penjelasan kepada pemilih,” katanya.
Kira-kira 800,000 anggota PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini yang akan dilaksanakan secara e-undi.
Ismail berkata pemilih boleh menyemak daftar pemilih mereka melalui laman web https://www.
Bagi pemilihan kali ini, 800 peranti e-undi akan dimobilisasikan sepanjang pengundian tersebut berlangsung.