KENAPA MAHATHIR DAN MATTHIAS MASIH MEMBISU?
Dr Puad Zarkashi
Setelah tiga hari TS Muhammad Shafee Abdullah membuat kenyataan media (8.9.2018), Perdana Menteri dan tali barutnya, Matthias Chang, masih membisu dan tidak menjawab pendedahan TS Shafee.
Pendedahan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendesak TS Shafee supaya bersetuju menjadi Pendakwaraya Khas perbicaraan Sodomi II Anwar Ibrahim telah membuka “Pandora Box” yang paling digeruni oleh Tun Dr Mahathir terbukti mencampuri urusan negara, menggunakan ugutan dan mengutamakan agenda peribadi.
TS Shafee adalah peguam tersohor dan “credible”. Sudah pasti kenyataan medianya bukan calang calang. Mana mungkin dia membuat kenyataan mengejutkan itu tanpa asas apatah lagi jika bertujuan fitnah.
TS Shafee mendedahkan DS Najib Tun Razak keberatan dengan permintaan Mahathir itu yang boleh menyinggung perasaan TS Gani Patail. Berkemungkinan Tun Mahathir juga telah memanggil TS Gani Patail sehingga akhirnya perlantikan TS Shafee sebagai Pendakwaraya Khas kes Sodomi II melalui kaedah “fiat” dipenuhi.
Jalan ceritanya hampir sama apabila Tun Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan UMNO Johor di Hotel Pullman Putrajaya. Dalam pertemuan itu Tun Mahathir memaklumkan dia telah berjumpa dengan Najib dan Najib bersetuju membina semula Jambatan Bengkok dengan syarat UMNO Johor bersetuju. UMNO Johor tidak bersetuju dan itu satu sebab Tun Mahathir marah dengan Najib.
Lebih mengejutkan, Matthias memaklumkan Perdana Menteri ada 6 tuntutan terhadap Najib. Jika tidak di penuhi, Tun Mahathir akan menentang Najib habis-habisan. Apakah lima lagi tuntutan Tun Mahathir itu? Apakah amalan ugut ini juga digunakan sekarang sehingga menyebabkan Menteri Menteri PH termasuk DAP dan Dr Wan Azizah Ismail seperti dicucuk hidung?
Ternyata campur tangan dan ugutan Tun Mahathir itu bertujuan peribadi. Ia mendedahkan Tun Mahathir melakukan “Tikam belakang” terhadap Anwar. Dia bimbang Anwar menang kes Sodomi II. Dia mahu Anwar dipenjarakan. Sekarang dia terpaksa membebaskan Anwar. Sebab itu mana mungkin Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke 8.
Justeru Perdana Menteri dan kuncunya Matthias perlu tampil membuat penjelasan kerana ini melibatkan pendedahan serius dan mencabar kredibiliti mereka termasuk konspirasi mereka memfailkan saman di Pejabat DoJ. Rakyat, Bar Council, UMNO, PAS, NGO termasuk NGO guaman perlu membuat laporan Polis. Polis juga mesti secara professional membuat siasatan penuh.