RM2.6 BILION: KIT SIANG SEMBUNYI FAKTA – NAJIB
(Watan) – Datuk Seri Najib Razak mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya memperakui bahawa RM2.6 bilion yang diterima dari Arab Saudi sudah dipulangkan kembali.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, fakta itu sudah diketahui pemimpin Pakatan Harapan (PH), namun disorokkan oleh mereka.
Beliau berkata, meskipun sudah mengetahui faktanya, Kit Siang dan pemimpin PH ketika itu sering mempersoalkan kemana perginya RM2.6 bilion.
“Saya terbaca kenyataan Lim Kit Siang hari ini. Beliau nampaknya agak sedih apabila saya telah mengeluarkan sebahagian bukti-bukti mengenai wang yang disumbang dari Arab Saudi kepada akaun peribadi saya.
“Sebelum PRU14, sekian lama Kit Siang dengan DAP selalu bertanya “Mana RM2.6b?”.
“Saya nak tanya Kit Siang sebelum saya dedah lebih dokumen dan penjelasan: Adakah YB akui yang saya sudah kembalikan sebahagian besar atau semua “RM2.6b” ini tetapi fakta itu sengaja disembunyikan oleh pihak pakatan?,” soal Najib di Facebooknya, pada Selasa.
Semalam, melalui laman sosialnya, Najib turut memuat naik sebahagian bukti-bukti mengenai duit yang diterima beliau dari Arab Saudi termasuk RM2.6 bilion.
Sumbangan diraja Arab Saudi itu disalurkan bagi kegunaan UMNO yang ketika itu dipimpin Najib dalam usaha memperkasakan kerajaan Islam di negara ini.