Teguran Tun M terlambat, silap tuju
(Sinar Harian) – Teguran pedas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap orang Melayu dilihat agak terlambat dan silap tuju.
Pemerhati politik, Dr Amini Amir Abdullah berkata sepatutnya teguran itu dibuat ketika Tun Mahathir berada di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di KLCC, minggu lalu.
“Saya fikir Tun Mahathir agak terlewat menegur orang Melayu kerana dalam majlis sambutan ulang tahun ke-2 Bersatu, ucapan itu seolah-olah dituju kepada ahli-ahli Bersatu.
“Sepatutnya beliau menyuarakan perkara ini dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di KLCC minggu lepas.
“Saya sendiri berada di sana ketika itu tapi beliau tidak menyuarakan perkara ini. Ketika itu Tun ada suarakan tentang orang Melayu tidak ada ketuanan Melayu kerana orang Melayu masih cuci kasut bangsa asing,” katanya kepada Sinar Harian.
Malam semalam, Tun Mahathir dalam ucapan sempena ulang tahun kedua Bersatu menggariskan kesalahan yang perlu diakui dan diperbetulkan oleh orang Melayu.
Ini termasuk orang Melayu tidak kuat bekerja, kurang menguasai ilmu dan maklumat, muda mungkir janji, tidak mahu kalau tidak bayar hutang dan tidak peduli sekiranya dianggap tidak amanah.
[ARTIKEL BERKAITAN : ‘Orang Melayu tak tahu malu’ ]
Dalam pada itu, Amini berkata kritikan Tun Mahathir itu bukan pertama kali yang ditujukan kepada kaum Melayu.
“Ini merupakan pengulangan kritikan pedas Tun terhadap orang Melayu. Saya masih ingat dalam bukunya Dilema Melayu, Tun kata orang-orang Melayu ini malas, tidak kuat bekerja dan tidak berapa cerdik kerana berkahwin dengan sepupu.
“Tapi Tun juga harus sedar, orang Melayulah yang usahakan bendang sampai menjadi salah satu makanan ruji kita. Orang Melayu yang usahakan Felda sampai menjadi salah satu eksport komoditi utama negara kita,” katanya.
Namun katanya, orang Melayu perlu mengambil positif teguran tersebut dengan melakukan transformasi diri.
“Maksud saya orang-orang Melayu perlu ubah persepsi mereka terhadap pekerjaan, tanggungjawab sebagai warganegara, tanggungjawab terhadap majikan dan seumpamanya. “Orang Melayu perlukan anjakan paradigma dalam pemikiran mereka untuk mengubah cara bekerja dan seumpamanya.
“Saya fikir orang Melayu perlu menceburi bidang keusahawanan dan menyahut seruan Tun ini sebagai satu cabaran untuk mengubah sikap, cara bekerja, pemikiran, kualiti dan sebagainya,” katanya.
Katanya, Tun Mahathir masih mempunyai masa untuk menggerakkan sesuatu bagi membantu kaum Melayu sebelum baton bertukar tangan.