Pas beri laluan kepada UMNO jika Anwar tanding di Selangor
Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, sebagai pembangkang, kedua-dua parti itu tidak boleh bertembung sesama sendiri dan Pas jelasnya tidak berhajat untuk meletakkan calon, jika UMNO memutuskan menentang Anwar.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lepas mengajar dan mendidik kita erti kerjasama dan ukhuwah. Malah, politik bukan untuk merenggangkan sesama kita dan kadangkala perlu bersatu.
“Oleh itu, bagi kawasan yang akan ditandingi Anwar, sekiranya UMNO meletakkan calon kita tidak akan berbuat demikian, malah akan turun memberi sokongan,” katanya dalam majlis Makan Malam Meraikan Petugas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam pada itu, Sallehen mencabar mana-mana ahli Parlimen PKR yang mendakwa rapat dengan Anwar agar menunjukkan kesetiaan dengan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Presiden parti itu bertanding.
“Bagi saya, kalau orang paling setia, dia layak meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar. Kalau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) merasakan dia paling setia, kenapa tidak letak jawatan untuk Anwar.
“Begitu juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kenapa tidak berbuat demikian? Mereka tidak perlu berteka-teki?
“Kemungkinan ada pertembungan serta sabotaj dalaman antara mereka dan tidak mustahil Tun Dr. Mahathir Mohamad turut bersama dengan pembangkang dalam PRK akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, PKR dilihat masih berteka-teki berkenaan kerusi yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Antara beberapa kawasan yanh disebut-sebut termasuk parlimen Pandan, Selayang dan Nibong Tebal.