PH khianati mandat rakyat jika terima UMNO – Khairuddin


(Astro Awani) – Pakatan Harapan (PH) akan dianggap mengkhianati mandat rakyat seandainya membuat keputusan menerima UMNO sebagai rakan gabungan mereka.

Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagaimanapun berkata mereka boleh mempertimbangkan mana-mana ahli atau pemimpin UMNO yang tidak mempunyai rekod tercalar dan ingin menganggotai mana-mana parti dalam PH.

Jelasnya, menerima UMNO secara keseluruhan tidak boleh diterima daripada segi prinsipnya kerana parti itu terlalu bongkak dan korup ketika memerintah negara dahulu.

“Dari segi prinsipnya untuk menerima parti UMNO sebagai sebahagian dari kerajaan pada hari ini tidak boleh diterima sama sekali. “Hari ini mereka sudah tewas dan sedang mencari semula tapak untuk menjadi sebahagian daripada pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya menerima penyertaan ahli UMNO ke dalam parti di bawah PH, bagaimanapun tidak sesekali menerima parti berkenaan ke dalam PH.

Khairuddin juga mempersoalkan penerimaan UMNO kepada PH sebagai rakan gabungan seandainya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Usah cakap untuk menerima PH, malahan UMNO dan BN akan menjadi semakin angkuh jika menang pada PRU lepas.

“Jangan percaya kepada Presiden UMNO kini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencari ‘talian hayat’ untuk menyelamatkan dirinya.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Nazri Aziz yang pada suatu masa bercakap seperti bermusuh dengan PH namun hari ini sanggup berkempen untuk tokoh pemimpin PH pula,” tegasnya.

Terdahulu, anggota Parlimen Padang Rengas itu dilaporkan menyatakan hasrat untuk berkempen bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Antara nama lain yang turut dilaporkan menyatakan hasrat sama ialah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Anwar pula dilaporkan menyambut baik sesiapa sahaja yang berhasrat untuk membantunya pada kempen PRK Port Dickson akan datang.

Bagaimanapun Ketua Umum PKR itu menyerahkan kepada jentera serta jawatankuasa pemilihan parti untuk membuat keputusan.

 



Comments
Loading...