Mujahid: Mahathir dakwa Anwar dengan tuduhan palsu


(Perak Today) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah didakwa atas kesalahannya mencabar pemerintah sebaliknya didakwa secara tuduhan palsu untuk mengaibkan diri dan keluarganya.

Katanya, Anwar menghabiskan lebih banyak masa di sebalik tembok besi dalam perjuangan reformasi di negara ini berbanding di medan.

Menurutnya, generasi reformasi hari ini adalah hasil perjuangan Anwar dan kini sebahagian daripada mereka menduduki jawatan penting dalam pentadbiran negara.

“Anwar tidak pernah mengenal erti menyerah. Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah sepanjang pemenjaraannya dan alhamdulillah pada tahun 2018 Yang di- Pertuan Agong berkenan memberikan kuasa pengampunan ke atas Anwar yang telah membersihkan namanya dan keluarganya sejak dihina dan diaibkan pada tahun 1998 lagi iaitu selama 20 tahun.

“Parti pembangkang semua meraih dokongan reformasi yang dilaung dan diusung oleh Anwar sehingga menjadi titik perpaduan di kalangan pembangkang. Suara Anwar yang menghidupkan semula roh Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa, kaum dan agama seolah satu kata sihir yang memukau segenap lapisan masyarakat. Justeru beliau telah menyatukan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Online.

Beliau berkata, Anwar merupakan individu yang setia kepada rakan politiknya walaupun dahulu Pas mempunyai pandangan keras terhadap beberapa sikapnya.

“Namun beliau mengambil kaedah bertemu dan menjelaskan bagi memelihara kesatuan pembangkang. Pas telah memilih jalannya walaupun Anwar berusaha memulihkan kekeruhan yang berlaku.

“Ketika Amanah diasaskan pada tahun 2015, beliau memahami realiti bahawa pembangkang harus terus kehadapan dan peranan Amanah menyatukan pembangkang setelah Pakatan Rakyat berkubur tidak dapat dinafikan. Kelahiran Bersatu pada 2017 turut dialukan sebagai kekuatan baru menggamit sokongan Umno tegar. Anwar meletakkan semua perkembangan ini dalam kerangka pemikiran politik baharu yang diperjuangkan, sebab itu beliau sentiasa fokus apa yang diinginkan,” katanya.

Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah berkata, tindakan besar anwar dalam kancah politik adalah menerima Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan reformasi walaupun sebelum ini mereka adalah musuh ketat.

“Anwar ada visi besar dan jiwanya membuka ruang yang luas untuk semua walaupun musuhnya sendiri. Beliau adalah figura yang menentukan kelangsungan parti PKR kerana beberapa kelompok dalam partinya menyatakan mereka adalah kem Anwar tetapi disebabkan kekuatan kepemimpinannya, belia berhati-hati menyatakan sikap kepada kem yang bersaing sengit.

“Tidak syak lagi Anwar adalah faktor penyatuan dalam suasana PKR sebagai parti terbesar menguasai kerusi PH,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bakal perdana menteri itu juga merupakan individu berani menyuarakan sikap Islam dalam kerangka demokrasi hari ini, malah beliau mahu dikenali sebagai muslim demokrat yang berpegang kepada kerangka negara berpaksikan rule of law dan interpretasi Islam yang kontekstual tanpa meninggalkan asas tekstual.

“Gabungan tekstual dan kontekstual inilah asas pandangan beliau pada isu yang menyinggung Islam kontemporari. Sedari dahulu tohmahan Islam liberal ke atasnya lebih kepada ketidak fahaman kelompok tekstual yang mahukan penafsiran Islam literal bukan kerana Anwar adalah seorang beragama Islam yang mencairkan prinsip agamanya.

Tambahnya, Amanah menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksimum mungkin bagi memenangkan Anwar di Port Dickson.

“Suara yang mempertikaikan keputusan beliau untuk bertanding di Port Dickson dan mengapa bukan di tempat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan tidak melihat susur galur perjalanan politik Anwar.

“Tanggapan kononnya beliau akan mewarnai politik anak-beranak terlalu awal untuk diberi ulasan kerana berbanding dengan perjalanan politik Anwar, isu anak beranak terlalu kerdil untuk diberi perhatian. Hanya mereka yang kurang arif perjalanan politiknya akan membesarkan isu politik anak beranak ini,” katanya.

 



Comments
Loading...