Polis nafi curi RM43 juta dirampas dari hartanah dikaitkan Najib


(FMT) – Polis hari ini menafikan dakwaan seorang blogger yang mereka mencuri RM43.3 juta daripada wang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah kediaman dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata dakwaan Raja Petra Kamarudin itu tidak berasas dan beliau sekadar “askar upahan”, bukannya wartawan penyiasatan.

“Saya mahu tegaskan dalam serbuan yang dibuat di kediaman Pavilion tempoh hari, kami hanya merampas sejumlah RM114 juta,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK.

“Jumlah RM114 juta tersebut dijumpai dalam 35 beg. Untuk RM43 juta, kita perlu dalam 10 ke 15 beg. Bagaimana kita boleh mencuri sedangkan ada 100 kamera litar tertutup (CCTV) dengan hanya satu pintu masuk dan ramai saksi.

“Asas dakwaannya ialah pada 25 Mei, saya umum RM114 juta telah dirampas dan selepas itu pada 28 Jun, saya beritahu sejumlah RM116 juta telah dirampas. Raja Petra gunakan perbezaan jumlah wang ini untuk dakwa kami tidak pasti dengan jumlah tersebut.”

Pada 27 Jun lalu, Amar Singh mengumumkan wang tunai dan barang mewah bernilai lebih RM1 bilion dirampas dalam serbuan ke atas beberapa premis dikaitkan dengan Najib, termasuk kediaman peribadinya di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Ia termasuk 12,000 jenis barang kemas, lebih 1,000 beg tangan berjenama, 234 cermin mata dan wang tunai berjumlah RM116.7 juta.

Kelmarin, Raja Petra yang berpangkalan di United Kingdom mendakwa polis mencuri RM43.3 juta yang dirampas dalam serbuan ke atas hartanah dikaitkan dengan Najib 4 bulan lalu, susulan siasatan ke atas skandal 1MDB.

Umno kemudiannya memfailkan tuntutan untuk mendapatkan wang itu yang didakwa milik parti terbabit.

Raja Petra mendakwa berdasarkan writ terbaru difailkan Umno, parti itu mendakwa polis sebenarnya merampas RM160 juta, bukannya RM116.7 juta yang diumumkan Amar Singh dalam sidang media.

Amar Singh hari ini mencabar Raja Petra membuat laporan polis di negara ini supaya siasatan dapat dijalankan ke atas dakwaan itu.

“Jika dia ada maklumat, sila buat laporan di Malaysia. Jangan hanya berlindung di belakang tirai siber.

“…kalau laporan yang dibuatnya itu didapati salah, tindakan akan diambil.”

Katanya, RM114 juta hanya jumlah wang yang ditemui dalam kondominium di Pavilion.

“Kami hanya melakukan serbuan di 5 premis lain. Selepas kami mengira wang dirampas daripada semua serbuan itu, saya kata dalam sidang media pada 28 Jun yang jumlah keseluruhan ditemui ialah RM116 juta.”

Beliau berkata, hanya satu laporan polis diterima mendakwa RM160 juta itu milik Umno, iaitu daripada Najib.

Tetapi katanya, Najib gagal mengemukakan sebarang bukti menyokong dakwaan itu ketika disoal penyiasat.

“Selepas saya umumkan nilai wang rampasan di Pavilion, Najib membuat laporan. Pegawai penyiasat tanya Najib terhadap tuntutan RM160 juta itu, namun beliau tidak menjawab.

“Anda perlu mempunyai dokumen untuk menunjukkan jumlah wang ini dikeluarkan.”

 



Comments
Loading...