Taktik politik supaya tak terlibat PRK?
(Sinar Harian) – Pembubaran Bersatu di Negeri Sembilan (NS) disifatkan sebagai taktik politik yang memberi isyarat bahawa parti itu tidak akan berkempen untuk calon PKR di PRK Parlimen Port Dickson.
Felo Penyelidik Institut Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, ia ada kaitan dengan hasrat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan berkenaan.
“Walaupun kita nampak pembubaran itu dikaitkan dengan isu-isu kepimpinan, tetapi dari satu segi, ia ada kaitan dengan PRK di Port Dickson yang akan ditandingi Anwar.
“Ia satu cara untuk mengurangkan keupayaan Anwar menang besar pada PRK Parlimen Port Dickson kerana jika dilihat prestasi penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebelum ini (PRU14), beliau menang dengan majoriti agak banyak dan itu menunjukkan isyarat kerusi Port Dickson selamat bagi PKR dan Anwar bertanding di tempat selamat untuk kembalikan aktiviti politiknya dalam Parlimen,” katanya, semalam.