‘Anggota Majlis Tertinggi UMNO’ ini sebar berita palsu; dakwa penuntut Indonesia diliwat Anwar Ibrahim di S’pura
BERITAmediacorp sudah menghubungi Encik Lokman Noor Bin Adam, yang menurut profil Facebooknya adalah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO, untuk meminta beliau supaya menurunkan dan memadamkan catatan yang tidak benar itu.
(BERITAmediacorp) – Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Lokman Noor Bin Adam mendakwa bahawa seorang penuntut warga Indonesia sudah membuat aduan polis kerana diliwat oleh suami Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim.
Catatan itu turut mendakwa bahawa insiden itu berlaku di Singapura baru-baru ini.
BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa catatan itu tular di media sosial dan Encik Lokman selanjutnya mendakwa bahawa sumber berita itu adalah daripada BERITAmediacorp. Ini tidak benar sama sekali dan berita yang disebarkan oleh Encik Lokman melalui catatannya itu adalah berita palsu.
Catatan itu selanjutnya mendakwa bahawa warga Indonesia itu kini berada di sebuah hospital di Singapura dan diletakkan di bawah kawalan polis bagi siasatan lanjut.
BERITAmediacorp sudah menghubungi Encik Lokman Noor Bin Adam, yang menurut profil Facebooknya adalah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO, untuk meminta beliau supaya menurunkan dan memadamkan catatan yang tidak benar itu.
Sejauh ini, BERITAmediacorp belum lagi menerima sebarang kiriman emel mahupun penjelasan daripada Encik Lokman berhubung perkara ini.
BERITAmediacorp juga sudah menghubungi Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mendapatkan pengesahan jika SPF ada menerima aduan mengenai perkara tersebut dan pihak kami sedang menantikan pengesahan daripada pihak polis.