Adik lelaki Lokman ditahan di bawah Akta Hasutan
(Utusan) – Adik kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB) Datuk Lokman Noor Adam ditahan dan disiasat polis awal pagi ini di bawah Akta Hasutan dipercayai ada kaitan dengan tindakannya memuat naik status dalam Facebook yang dikatakan menghina pemimpin negara.
Penahanan tersebut didedahkan sendiri Lokman menerusi akaun Instagram miliknya dan memaklumkan adiknya itu ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira pukul 3 pagi dirumahnya di Bukit Subang, di sini, serta direman empat hari bermula hari ini.
“Adik saya direman empat hari di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan di IPD Shah Alam.
“Sebelum pilihan raya umum, Akta Hasutan mahu dihapuskan, kini menjadi senjata utama mereka, tidak cukup saya, adik saya pula jadi mangsa,” kata Lokman dipetik menerusi akaun Instagram miliknya.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut bersabit perbuatan yang dilakukan adik Lokman.
“Benar kita menahannya pagi ini, dia direman empat hari bermula hari ini dan polis menyiasat kes ini di bawah Sekyen 4 (1) Akta Hasutan,” katanya.