KADIR JASIN ‘JENTIK’ AGONG, RAJA


(Watan) – Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin terus ‘menjentik’ institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong melalui satu tulisan yang dimuatnaik di laman blognya.

Bekas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan itu mempersoalkan peranan raja yang cuba mengatasi kuasa rakyat khususnya membabitkan pelantikan Perdana Menteri.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pernah menawarkan beliau menjadi Perdana Menteri selepas PRU14 lalu.

Bagaimanapun dalam konteks PRU ke-14, persetujuan telah pun dicapai awal-awal lagi dan dihebahkan kepada umum bahawa yang akan menjadi Perdana Menteri bukanlah ketua parti (PKR) tapi Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PH.

“Jadi, rakyat tahu dan satu dunia juga tahu bahawa calon Perdana Menteri ialah (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan bukan orang lain.

“Cuma timbul persoalan kerana tiga bulan sebelum PRU 9 Mei, Istana Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

“Gelaran itu diberikan oleh bekas Sultan Kelantan,Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad V dan masih hidup.

“Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa orang sultan secara tersurat dan tersirat “berkempen” menghalang kepulangan Dr Mahathir ke arena politik tanah air,” tulis Kadir di laman blognya.

Sebelum itu, Wan Azizah dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong membuat tawaran tersebut kerana beliau ketika itu adalah Presiden PKR yang simbolnya digunakan oleh Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu Kadir berkata, pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih PH, berhak mengetahui tindak balas Yang di-Pertuan Agong terhadap keputusan mereka memilih PH.

“Setiap perkataan yang dikeluarkan dan gerak tubuh (body language) yang dipamerkan pada saat genting itu perlu dirakamkan secara rasmi agar menjadi panduan kepada kerajaan yang ada hari ini dan petunjuk bagi generasi akan datang,” katanya.

 



Comments
Loading...