Awas kesan buruk cukai baru lebih tinggi, kata pakar ekonomi


Angka Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan 34,532 unit rumah siap bernilai RM22.26 bilion tidak terjual pada suku pertama tahun ini.

(FMT) – Seorang pakar ekonomi mengingatkan kesan buruk ke atas sektor perniagaan sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengenakan cukai baru atau menaikkan kadar cukai sedia ada.

Bercakap kepada FMT, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, cukai baru atau yang lebih tinggi akan membantutkan pertumbuhan perniagaan dan adalah lebih baik kerajaan mengurangkan perbelanjaan sekiranya ia bimbang tentang kekurangan hasil.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada langkah penstrukturan semula perkhidmatn awam dan syarikat berkaitan kerajaan.

Ferlito memberi respons kepada cadangan ahli ekonomi kanan Maybank Chua Hak Bin supaya kerajaan menaikkan duti setem ke atas transaksi hartanah.

Chua, yang bercakap pada satu persidangan ekonomi baru-baru ini, mencadangkan peningkatan itu dilaksanakan ke atas semua transaksi hartanah tanpa had ambang atau pengecualian.

Bagaimanapun kata Ferlito, apa-apa pertambahan ke atas beban fiskal dalam pasaran hartanah hanya akan memburukkan lagi keadaan sedia ada.

“Risikonya ialah kita mungkin melihat semakin merosotnya transaksi hartanah dan hasil daripada duti setem tambahan ditutup oleh pengurangan perniagaan.”

Jun lepas, angka Pusat Maklumat Hartanah Negara menunjukkan 34,532 unit rumah siap bernilai RM22.26 bilion tidak terjual pada suku pertama tahun ini.

Ketua pegawai operasi firma Henry Butcher Malaysia, Tang Chee Meng menyetujui pendapat Ferlito dengan berkata pertambahan duti setem akan mengakibatkan peningkatan harga.

Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan meminda cukai keuntungan harta tanah (RPGT) bagi menghalang spekulasi.

“Duti setem memberi kesan ke atas semua pembeli, sementara RPGT hanya melibatkan penjual dan lebih lunak kesannya kepada mereka yang memegang hartanah lebih lama,” katanya.

Pada masa sekarang, keuntungan ke atas hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun pertama tertakluk kepada cukai sebanyak 30%. Kadar ini menurun kepada 20% bagi hartanah yang dijual dalam tempoh 4 tahun dan 15% pada tahun kelima. Tiada cukai keuntungan dikenakan ke atas hartanah yang dijual selepas tempoh 6 tahun pemilikan.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mengulangi gesaannya supaya duti setem dan RPGT dikenakan ke atas pihak yang memiliki lebih daripada 2 hartanah.

Setiausaha agung HBA, Chang Kim Loong mencadangkan duti setem berkadar rata 5% ke atas hartanah ketiga, 7.5% ke atas hartanah keempat dan 10% ke atas hartanah berikutnya.

Dalam konteks RPGT katanya, cukai 30% hendaklah ditambah ke atas hartanah ketiga dan berikutnya jika ia dijual dalam tempoh 10 tahun.

“Kadar duti setem yang rendah menyebabkan spekulator membeli beberapa hartanah serentak pada satu-satu masa sekali gus menghalang pembeli sebenar membeli rumah mereka, sementara kelemahan RPGT pula ia berkuatkuasa pada tarikh pemilikan hartanah berkenaan, bukannya pada tarikh siap bina rumah tersebut.

“Jadi spekulator hanya perlu ‘menyimpan’ sesuatu hartanah selama 3 tahun sebelum menawarkannya ke pasaran dan mengelak daripada membayar RPGT,” katanya.

 



Comments
Loading...