Zahid diberi notis serah diri kepada SPRM esok, dakwa Lokman Adam


(FMT) – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.

Katanya, pemimpin itu juga dijangka akan didakwa agensi itu pada Jumaat ini.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno telah diberikan notis serah diri untuk ditahan jam 1.45 ptg tadi supaya menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM jam 3.00 ptg esok, 18hb Oktober, 2018 (Khamis) dan dijangka akan didakwa keesokkan harinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau mengajak ahli dan penyokong Umno untuk hadir ke ibu pejabat SPRM dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan solidariti terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Hadir untuk menyatakan sokongan secara aman bukan merupakan satu kesalahan, usah gentar untuk turun.

“Saya akan hadir pakai baju oren lokap SRPM. Terpulang kepada anda mahu pakai baju apa,” katanya.

Pada 12 Oktober, Zahid dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

Ia adalah kali kelima Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan wang RM800,000 milik yayasan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Sebelum ini Zahid dilaporkan berkata pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan dan beliau sudah membayar semua wang yayasan milik keluarganya itu yang digunakan untuk membayar bil kad kredit.

 



Comments
Loading...