Dari mana datang jumlah pecah amanah RM49 juta? – Peguam Hasanah
(Malaysia Gazette) – Peguam yang mewakili bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid mempersoalkan jumlah tuduhan pecah amanah sebanyak RM49 juta ke atas anak guamannya itu.
Menurut peguam Datuk Shaharudin Ali, pihaknya ingin mengetahui daripada mana datang jumlah tersebut sama ada daripada kerajaan atau operasi risikan negara luar.
Beliau menegaskan, ini kerana operasi risikan negara adalah perkara sulit dan ia tidak boleh sewenangnya didedahkan kepada umum kerana berkaitan soal keselamatan negara.
“Saya juga ingin menjelaskan Hasanah tidak terlibat langsung dengan skandal 1MDB, anak-anak syarikatnya dan hutang berkaitan 1MDB.
“Orang ramai keliru dengan isu ini dan beliau sebenarnya tidak ada kena mengena langsung dengan skandal tersebut,” katanya pada sidang media selepas prosiding berakhir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Shaharudin menambah, pihaknya juga yakin anak guamannya itu tidak ada keperluan untuk disabitkan dengan pertuduhan lain pada masa akan datang.
Beliau berkata, Hasanah, 61, ketika ini berada dalam semangat yang tinggi untuk berdepan pertuduhan hari ini.
Tambahnya, Hasanah akan menjelaskan jumlah ikat jamin RM500,000 yang dikurangkan daripada RM1 juta sebelum petang ini