Menteri: Nilai rumah tak terjual kini cecah RM22.5 bilion
(FMT) – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata rumah yang tidak terjual di seluruh negara buat masa ini mencecah RM22.5 bilion.
Beliau berkata 73% daripada rumah yang tidak terjual itu merupakan kategori rumah mampu milik yang bernilai RM250,000 ke bawah.
“Kerajaan telah duduk (berbincang) dengan Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan pihak pemaju untuk menganjurkan satu ekspo pemilikan rumah seperti yang dilaksanakan pada 1998 hingga 1999 bagi menjual rumah-rumah yang tidak terjual tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kementerian untuk mengatasi masalah lambakan unit rumah yang tidak terjual berikutan kegagalan pembeli mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank dan institusi kewangan.
Zuraida berkata kementerian juga berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia untuk membantu menyediakan skim pembiayaan rumah yang membolehkan syarat kelulusan pinjaman rumah dilonggarkan.
“Kita harus gunakan dana kerajaan dengan mampan dan laksanakan program membolehkan memiliki rumah lebih mampan dan tak nak guna dana kerajaan cara kurang berhemah.
“KPKT dengan kerjasama Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) sedang membangunkan sistem data bersepadu yang lebih terperinci yang dapat mengurangkan sistem data bersepadu yang lebih terperinci yang dapat kurangkan ‘missmatch’ penawaran serta permintaan dalam pembangunan perumahan,” katanya.