Najib ditipu Al Jazeera, janji topik lain tapi ditemu bual topik lain
(Utusan) – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pengacara rancangan temubual Al-Jazeera, Mary Ann tidak adil kepada beliau ketika sesi wawancara berlangsung.
Menurut Najib, dalam program temuramah yang dirakam pada hari isteri, anak dan anak tirinya disoal siasat oleh pihak polis semalam, Mary Ann tidak mengikuti topik yang telah dipersetujui sebelum ini.
Najib berkata, biarpun wawancara tersebut melangkaui masa serta menyeberang skop yang dipersetujui, beliau tetap menjawab soalan tambahan yang diajukan.
“Walaupun saya sudah menjawab banyak soalan mengenai Altantuya dan 1MDB yang bukan pun di dalam skop yang dipersetujui, wartawan yang bernama Mary Ann ini tetap tidak mahu kembali kepada topik asal iaitu legasi saya dan ekonomi negara.
“Malahan, dia terus menekan tentang isu Altantuya dan 1MDB yang sedang di dalam proses pengadilan di mahkamah dan mencelah semasa saya sedang menjawab serta berulang-kali untuk mengaitkan nama Jho Low kepada saya walaupun saya sudah jawab peranan Jho Low kepada dia dipermulaan wawancara ini,” kata Najib.
Najib berkata, sikap Marry Ann itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menghentikan temubual yang sedang berlangsung.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menghentikan temubual ini kerana tidak mengikuti apa yang telah dipersetujui dan ianya tidak adil kepada saya.
“Saya berpendirian tidak mahu mereka melanjutkan fitnah mengenai dua-dua isu itu terhadap saya, yang sudah berkali-kali dijawab dan terlalu banyak kali diberi penjelasan,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Program wawancara bersama Marry Ann itu disiarkan oleh rangkaian Al-Jazeera hari ini. Dalam program tersebut Najib dilihat menamatkan wawancara sebelum rancangan itu berakhir. Mary Ann merupakan wartawan yang bertanggungjawab bagi satu program mengenai pembunuhan Altantuya.
Menurut Najib, beliau diberitahu pihak Al-Jazeera sedang cuba untuk mengatur satu lagi wawancara dengannya supaya matlamat asal dua-dua pihak akan dapat dicapai.
**********************************************************
Sebentar tadi, Al-Jazeera telah menyiarkan temuramah yang dirakam serentak ketika isteri, anak dan anak tiri saya disoalsiasat oleh pihak polis semalam.
Biarpun wawancara ini melangkaui masa yang dipersetujui serta menyeberang skop yang dipersetujui, saya tetap menjawab soalan soalan tambahan yang diajukan.
Tetapi, individu yang mengendali wawancara itu juga adalah wartawan bertanggungjawab bagi satu program mengenai pembunuhan Altantuya, dan dia bertegas mahu menyoal soalan mengenainya, disebalik pelbagai penafian saya, disebalik kes pembunuhan itu sudah melalui prosiding mahkamah terperinci, malah dua minggu lalu, atas permintaan saya, pegawai saya telahpun membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat semula bagi membersihkan nama saya.
Walaupun saya sudah menjawab banyak soalan mengenai Altantuya dan 1MDB yang bukan pun di dalam skop yang dipersetujui, wartawan yang bernama Mary Ann ini tetap tidak mahu kembali kepada topik asal iaitu legasi saya dan ekonomi negara.
Malahan, dia terus menekan tentang isu Altantuya dan 1MDB yang sedang di dalam proses pengadilan di mahkamah dan mencelah semasa saya sedang menjawab serta berulang-kali untuk mengaitkan nama Jho Low kepada saya walaupun saya sudah jawab peranan Jho Low kepada dia dipermulaan wawancara ini.
Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menghentikan temubual ini kerana tidak mengikuti apa yang telah dipersetujui dan ianya tidak adil kepada saya. Saya berpendirian tidak mahu mereka melanjutkan fitnah mengenai dua-dua isu itu terhadap saya, yang sudah berkali-kali dijawab dan terlalu banyak kali diberi penjelasan.
Saya diberitahu bahawa pihak Al-Jazeera sedang cuba untuk mengatur satu lagi wawancara dengan saya supaya matlamat asal dua-dua pihak akan dapat dicapai. – Najib Razak