PPBM tegur DAP persoal PH terima ahli parlimen Umno


(FMT) – PPBM menegur tindakan Pengerusi DAP Tan Kok Wai yang mempersoalkan keputusan parti komponen Pakatan Harapan itu menerima keahlian wakil rakyat Umno.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Kok Wai sepatutnya merujuk kepada Majlis Presiden dan Tun Dr Mahathir Mohamad terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya rasa tak betul untuk Kok Wai mengeluarkan kenyataan seperti itu sebelum dibincangkan dengan perdana menteri Malaysia.

“Sebagai contoh kita lihat saudara Mat Sabu (Mohamad Sabu) sendiri berkata penyertaan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) akan memberi sinaran baru di Kelantan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Terdahulu Kok Wai berkata amalan parti komponen PH menerima ahli Parlimen yang pernah berada dalam Umno sebagai “tidak sihat”.

Kenyataannya itu 2 hari selepas Ahli Parlimen Jeli, Mustapa menyertai PPBM, selepas keluar Umno kira-kira sebulan lalu.

Beliau juga berkata, PH belum sampai 6 bulan menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

“DAP tidak pasti sama ada lebih ramai ahli Parlimen Umno akan menyertai parti komponen PH, termasuk DAP sendiri.

“Namun, kami tidak menggalakkannya kerana tindakan menerima mereka yang mahu melompat parti ini bukan sesuatu amalan yang sihat, memandangkan belum pun 6 bulan sejak PRU yang lalu,” katanya.

Ditanya mengenai risiko penyertaan wakil rakyat Umno ke dalam PPBM akan memberi kesan buruk kepada parti, Syed Saddiq berkata parti itu tidak menerima pemimpin yang terlibat rasuah.

“Seperti yang Tun tekankan sebelum ini bagi mereka yang disabitkan kesalahan di bawah SPRM, itu kita tak boleh terima tetapi mereka yang melalui proses tersendiri di mana Tun sendiri bersetuju saya mendokong pendirian Tun itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata isu tersebut perlu dibincang dalam mesyuarat PH terlebih dahulu.

“Saya tidak tahu apa maksudnya (Kok Wai), mari kita bincang di mesyuarat,” katanya.

 



Comments
Loading...