Kadir Jasin: Rakyat perlu tahu kos menanggung Raja-Raja Melayu
(Malaysiakini) – Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ditabalkan pada 22 Oktober lalu mengambil gelaran “Al Aminul Karim.”
Seorang pegawai Pejabat Sultan di Alor Star memberitahu, terjemahan bahasa Melayu yang diperkenankan bagi gelaran itu adalah “raja dipercayai yang bersifat mulia.”
Alhamdulillah. Sebagai negeri majoriti Melayu-Islam yang kaya pun tidak dan miskin sangat pun tidak, Kedah memerlukan seorang raja yang dipercayai rakyat jelata dan bersifat mulia.
Seorang menteri orang Kedah yang hadir upacara penuh adat istiadat Melayu itu memberitahu saya, empat ekor gajah dibawa khas dari Pahang untuk tujuan tersebut.
Saya rasa ini adalah gajah daripada Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah.
Di situ ada dua jenis gagah. Gajah denak yang jinak dan gajah liar yang ditangkap. Gajah liar itu akan dipindahkan ke tempat lain agar tidak bertembung dengan manusia.
Rela jika raja bijaksana
Menteri itu turut memaklumkan kepada saya berapa belanja membawa haiwan itu pergi balik. Boleh kira mahallah.
Tapi saya kata kepada beliau, kalau raja bijaksana dan sentiasa di atas takhta, saya relalah dengan perbelanjaan itu.
Lagipun bukan hari-hari raja ditabalkan. Pertabalan terakhir berlaku di Kedah lebih 60 tahun lalu apabila Almarhum Sultan Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah ditabalkan.
Menteri itu kata lagi, bukan sahaja majlis tersebut penuh adat istiadat Melayu tetapi lebih daripada itu ia bersandarkan Islam dan Al-Quran.
Katanya, sumpah jawatan yang paling tinggi adalah apabila Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang, membacakan doa yang terkandung di dalamnya Ayat ke-26 Surah Al-Imran.
“Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Walaupun terlewat, saya turut menadah tangan mengaminkan doa beliau sambil berharap lirik lagu rasmi negeri Kedah akan menjadi panduan.
“Allah selamat sultan mahkota,
berpanjangan usia di atas takhta,
memelihara agama nabi kita,
negeri Kedah serata-rata.”
Lagu rasmi itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara Islam “agama Nabi kita”.
Ia tidak kata, “berpanjangan usia di bilik lembaga” dan “pelihara konglomerat niaga baginda.”
Tak kata raja kita selamat cari bijih, balak
Rangkap penyudah lagu kebangsaan negara kita pun mengingatkan hal yang sama.
“Rahmat bahagia,
tuhan kurniakan,
raja kita,
selamat bertakhta.”
Ia tidak kata, raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.
Perlembagaan negara kita meletakkan raja-raja di atas takhta (di dalam istana) dengan peruntukan kewangan dan kemudahan yang tidak termimpikan oleh manusia biasa.
Mungkin dalam era Malaysia baru ini, parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri boleh maklumkan kepada rakyat jelata berapa banyak perbelanjaan yang mereka peruntukan kepada raja-raja mereka.