ANUAR SHAARI: DAP + ICERD = MALAYSIAN MALAYSIA
Anuar Shaari
1. Lim Guan Eng sudah mula bersilat. Lim Kit Siang pula diam menikus dari mengulas isu ICERD. Betapa kerasnya mereka memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’, tiba- tiba kini diam membisu. Sikap cauvinis mereka selama ini cuba ditutup dengan kenyataan ‘tidak mahu mengulas’ dan ‘menyerahkan kepada PM’ berkaitan isu ICERD.
2. P. Waythamoorthy hanyalah perantara DAP, tidak lebih itu. Bukankah ini yang DAP perjuangkan selama ini? Hak kesamarataan semua bagi kaum. Tidak cukup dengan itu, Mahkamah Syariah juga mahu diganggu dengan mendesak peguam bukan Muslim boleh menjadi peguam bela di Mahkamah Syariah. DAP cukup lantang mempertahankan sekolah Cina yang menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. DAP juga yang mengatakan sekolah agama (Islam) hanya berperanan memecahkan perpaduan kaum.
3. Dasar Ekonomi Baru (DEB) zaman berzaman tidak pernah memberi kebaikan bagi mereka. Mereka juga yang mengatakan bangsa bukan Melayu di Malaysia dilayan dengan tidak adil dari dahulu hingga sekarang. DAP juga yang memperjuangkan supaya ruangan bangsa dan agama dimansuhkan di dalam kad pengenalan dan borang-borang di Malaysia.
DAP juga yang menyokong perkahwinan rentas agama. DAP juga yang rasis dengan mengatakan ‘biar Melayu yang skru Melayu”. Banyak lagi lagi isu yang membabitkan hak-hak Melayu, Bumiputera dan Islam, DAP akan menyatakannya tidak adil.
4. Namun bila didesak menyatakan pendirian mereka tentang isu ICERD, berpeluh sakan mereka bersilat. Sepatutnya inilah masanya DAP menyatakan pendirian tegas mereka. Kononnya DAP ini berprinsip dan berpegang teguh dengan perjuangan mereka.
Keteguhan prinsip inilah yang dikagumi oleh sebahagian besar masyarakat melayu di Malaysia ini. Konon Lim Guan Eng walaupun bukan Islam, tidak makan rasuah! Malahan ada yang ekstrim mengatakan lebih sanggup makan babi dengan DAP dari makan ayam dengan UMNO!
5. Takkan dalam isu ICERD ini DAP telah hilang prinsipnya. Khabarnya DAP masih teguh dengan prinsip mereka walaupun telah menjadi sebahagian dari kerajaan hari ini. Lihat saja dalam isu penerimaan darjah kebesaran dari Sultan dan Gabenor negeri, pemimpin DAP mengeluarkan arahan tidak akan menerimanya walaupun arahan ini telah dilanggar oleh ahlinya sendiri. Keteguhan prinsip inilah yang dijaja oleh masyarakat Melayu yang mempercayai DAP.
6. Oleh kerana itulah, masyarakat cukup hairan dengan tindakan DAP yang tidak mahu mengulas isu ICERD ini. Di mana keteguhan prinsip yang selalu dibanggakan dalam DAP? Mengapa Lim Guan Eng dan DAP secara rasmi malu untuk menyokong ICERD?
Adakah kerana DAP malu menyatakan pendirian mereka dalam isu ini maka kenyataan pemimpin Melayu di dalam PH dinyatakan dengan lembut dan berlapik? Adakah mereka tidak mahu mendahului DAP, atau takut dengan DAP? Sedangkan ICERD ini terang-terang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia…
Apakah yang mahu disembunyikan oleh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan DAP?