ICERD: Kecoh di Dewan Rakyat bila Waytha berucap


(FMT) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy, terpaksa memendekkan ucapannya mengenai satu triti kontroversi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan diskriminasi kaum hari ini selepas anggota pembangkang menyerang beliau dengan panggilan “rasis” dan “penipu”.

Sebilangan wakil PAS dan Barisan Nasional (BN) juga berkata Waytha tidak berhak bercakap mengenai isu tersebut, terutamanya selepas kemunculan klip video temu bual beliau dengan seorang wartawan penyiaran Belanda 10 tahun lepas.

Speaker terpaksa menutup mikrofon, tetapi prosiding Dewan Rakyat terus terhenti.

“Anda menteri rasis. Tak perlu bercakap,” kata Noh Omar (BN-Tanjung Karang).

Sementara itu, Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) meminta Waytha duduk dengan berkata, beliau tidak layak menjawab soalan mengenai Konvensyen Antrabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berikutan keadaan terus panas, Waytha berkata beliau akan memberikan jawapan bertulis kepada soalan tersebut, bukannya jawapan lisan.

Waytha memulakan ucapannya dengan memberi jaminan bahawa Perkara 153 perlembagaan, yang memperuntukkan hak istimewa kepada Bumiputera, akan kekal dan tidak akan dipinda dengan ratifikasi ICERD.

Pada waktu ini, Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) berkata, jawapan Waytha mengenai ICERD mengelirukan.

“Saya mahu anda menjawab dengan jujur. Apakah ada jangka masa untuk memansuhkan Perkara 153, kerana mungkin akan ada tekanan daripada PBB supaya memansuhkannya? Ia melibatkan kontrak sosial kita.”

Waytha berkata tidak wujud jangka masa untuk memansuhkan Perkara 153, dengan menambah bahawa beliau mahu mengemukakan pandangan peribadinya mengenai perkara itu.

Wakil pembangkang bagaimanapun memberitahu Waytha supaya tidak memasukkan pandangan peribadinya dalam isu itu.

Waytha juga berkata, peguam negara akan menjawab persoalan tersebut.

Ismail Sabri (BN-Bera) kemudian bertanya apakah yang akan berlaku sekiranya jawatankuasa PBB mendesak Putrajaya membatalkan Perkara 153. Waytha sekali lagi berkata, kerajaan tidak akan memansuhkan Perkara 153.

Reezal menyoal apakah focus ICERD dengan bertanya mengapa Waytha mahu ia diratifikasi pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun Waytha berkata kata-katanya telah diputarbelitkan.

“Saya hanya berkata perbincangan mengenai isu itu akan bermula pada suku pertama 2019.”

Waytha menambah bahawa beliau mahu meneruskan ucapannya tanpa gangguan, tetapi wakil pembangkang enggan peduli.

Noh Omar juga memintanya menjelaskan pertentangan jelas antara ucapannya di Dewan Rakyat dengan klip video temu buat beliau di Belanda.

“Dalam video itu, anda menghina Malaysia, menghina Islam. Di sini, di Dewan Rakyat, anda berlagak seolah-olah awira.”

Selepas mendengar beberapa soalan lain tentang video itu, Waytha berkata Malaysia tidak mempunyai dasar diskriminasi, tetapi kerajaan sebelum ini mendiskriminasi masyarakat India.

Ini mencetuhkan kekecohan baru, dengan wakil BN menggelar beliau “menteri kuey teow” dan menuntutnya meletakkan jawatan.

Speaker menutup mikrofon, tetapi gesaannya supaya semua pihak bertenang ditenggelami oleh laungan “rasis”.

Waytha berkata, beliau mahu beralih kepada topik lain, tetapi wakil pembangkang tidak membenarkan beliau terus bercakap.



Comments
Loading...