Speaker Dewan Negara akan saman Loke dedah rakaman CCTV KLIA


(FMT) – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran akan menyaman Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook kerana menceroboh privasinya dengan pendedahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau melanggar peraturan keselamatan di laluan VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Presiden MIC itu berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan melindungi maruah isteri dan anaknya yang tercemar, selepas Loke menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri untuk mendedahkan video yang mengundang banyak kritikan negatif terhadap beliau sekeluarga.

“Dia menteri, dia bukan ahli Parlimen pembangkang atau pegawai penyiasat,” katanya di Parlimen hari ini sambil menambah isu itu membabitkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan tiada kaitan dengan Loke sebagai menteri pengangkutan.

“Dia buat tuduhan saya ini penceroboh…dia lupa MAHB ialah syarikat swasta yang disenarai awam. Bila nak gunakan video tersebut, dia sepatutnya kena ada hak sebelum mendedahkannya, tapi dia tak guna pakai. Dia guna pakai video saya dengan anak-anak saya sekali.

“Ini memalukan kepada menteri (Loke) yang dia langsung tidak ada sensitiviti sebagai seorang lelaki melindungi anaknya.”

Vigneswaran berkata, beliau akan membuat laporan polis ke atas Loke yang melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana mendedahkan rakaman CCTV itu kepada orang ramai sehingga menyebabkan keluarganya terbabit dalam kontroversi.

Dalam kejadian 10.14 malam 14 November lalu, pegawai di laluan VIP KLIA meminta Vigneswaran berhenti kerana melanggar kod berpakaian.

Bagaimanapun, rakaman CCTV yang didedahkan itu menunjukkan Vigneswaran meneruskan perjalanan untuk turun ke bawah di bahagian lobi VIP.

Bulan lalu, Loke mengumumkan prosedur pemeriksaan lebih ketat, termasuk pemeriksaan Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen di laluan VIP semua lapangan terbang bagi memastikan ia tidak disalahgunakan pihak tertentu.

Sementara itu, Vigneswaran bertegas tidak akan memohon maaf, walaupun Loke mendesaknya berbuat demikian secara terbuka kerana melanggar peraturan keselamatan KLIA.

“Nak saya minta maaf kepada siapa? Kepada Tuhan?

“Adakah ini sistem perundangan baru yang mana tidak perlu ada mahkamah atau apa-apa, terus dia buat kesimpulan bahawa saya yang salah,” soalnya.

Semalam, Loke dilaporkan berkata, satu laporan polis dibuat pihak pengurusan KLIA pada hari kejadian dan pihaknya sedang menunggu laporan lengkap siasatan itu.

 



Comments
Loading...