Polis tahan 4 warga Finland edar pen, risalah Bible di Langkawi
(Bernama) – Polis menahan 4 warga Finland di sebuah hotel semalam untuk siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Kanun Keseksaan selepas disyaki mengedar pen dan buku tertera pernyataan dari Bible di kawasan awam di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan tangkapan itu hari ini berkata semua suspek, berumur antara 27 dan 60 tahun itu ditahan sepasukan polis diketuai Insp Alex Pang Tak Fatt di sebuah bilik hotel itu pukul 5.00 petang semalam.
Semasa ditangkap, polis menemui 47 batang pen dan 336 naskah buku kecil yang mengandungi kenyataan yang dipetik dari Bible yang dipercayai cuba diedarkan kepada orang ramai.
“Tangkapan ini dibuat susulan 3 laporan polis yang kami terima daripada orang ramai berhubung kegiatan suspek berkenaan yang berada di sini sejak 18 Nov lepas,” katanya kepada media.
Menurutnya, polis memohon perintah reman ke atas semua suspek bagi meneruskan siasatan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, kerana melanggar syarat imigresen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Siasatan ke atas mereka turut melibatkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara 2 dan 5 tahun