Sultanah Terengganu saman editor Sarawak Report, 2 pihak lain RM300 juta


(FMT) – Sultanah Terengganu memfailkan saman fitnah RM300 juta terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan 2 pihak lain kerana mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan skandal 1MDB dalam bukunya.

Rewcastle-Brown menerusi bukunya bertajuk “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” mendakwa Sultanah Nur Zahirah terbabit dalam penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) yang menjadi pelopor 1MDB.

Selain Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd turut dinamakan dalam saman fitnah itu.

Pasukan peguam Sultanah Terengganu menghantar surat tuntutan kepada Rewcastle-Brown dan 2 pihak terbabit September lalu, untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara bertulis dalam 8 hari.

Bagaimanapun, peguam Sultanah Nur Zahirah menolak permohonan maaf Rewcastle-Brown yang disifatkannya tidak ikhlas.

Rewcastle-Brown dilaporkan berkata, sultanah salah faham terhadap kandungan bukunya dan percetakan semula buku itu sudah mengeluarkan nama sultanah.

Rewcastle-Brown sebelum itu turut mendakwa Sultanah Terengganu rapat dengan Low Taek Jho, ahli perniagaan terbabit dalam skandal 1MDB yang diburu pihak berkuasa.

TIA ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan yang diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

 



Comments
Loading...