Peruntukan R&D prototaip kereta nasional ketiga diluluskan
(Berita Harian) – Kerajaan akan menyalurkan sejumlah peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan prototaip projek kereta nasional ketiga.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata peruntukan itu akan menggunakan geran R&D kerajaan yang sudah diluluskan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Biar Perdana Menteri umumkan mengenai dana geran ini, ia (jumlahnya) agak besar dan cukup untuk menjadi pemangkin bagi menarik penyertaan swasta dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang kami akan tubuhkan bagi meraih modal permulaan untuk merangsang (perkembangan) projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar ‘Membuka Potensi PKS’ di bangunan Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini berkata prototaip kereta nasional baharu dijangka dapat dikongsikan kepada umum seawal tahun depan.
Beliau berkata ia telah dibincangkan di peringkat Majlis Pembangunan Negara yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Mohd Redzuan, berkata sektor swasta menunjukkan minat yang memberangsangkan terhadap projek kereta nasional baharu itu dan mahukan industri automotif tempatan untuk berkembang lebih pesat.
“Anda dapat menilai pembabitan sektor swasta yang mahu turut serta dalam projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.