Status undian himpunan bantah ICERD di Facebook Mukhriz Mahathir FC dipadam
84 peratus bersetuju himpunan diadakan, 16 peratus tidak
(Utusan) – Tindakan pengendali laman sosial Facebook Mukhriz Mahathir FC yang memadam status undian mengenai keperluan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 diadakan atau sebaliknya menimbulkan tanda tanya dan perdebatan dalam kalangan netizen.
Undian tersebut yang dibuka pada pukul 8.30 pagi tetapi dipadam semula kira-kira pukul 4 petang itu mendapati sebanyak 84 peratus bersetuju perhimpunan itu diadakan manakala 16 peratus tidak bersetuju.
Keseluruhannya membabitkan sebanyak 46,000 yang mengundi.
Rata-rata netizen mempersoalkan di ruang komen status terbaharu laman Facebook tersebut mengapa undian tersebut dipadam sedangkan masih ramai yang belum membuat pengundian.
Sebelum itu, laman sosial Facebook Mukhriz Mahathir FC membuka ruang kepada orang ramai untuk mengundi mengenai keperluan diadakan himpunan ICERD pada Sabtu ini.
Status itu menyatakan seperti berikut:
“Perdana Menteri dan kerajaan telah memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan meratifikasikan ICERD. Bermakna kerajaan telah menolak ICERD di Malaysia.
“Jadi masih perlukah himpunan membantah ICERD diadakan pada 8 Disember ini. Ada dua pilihan Vote klik pada perlu atau tidak. Kerjasama anda amat dihargai,” tulis status tersebut.