Hormati, fahami kontrak sosial – Sultan
(Utusan) – Rakyat negara ini harus memahami dan menghormati kontrak sosial yang menjadi asas persefahaman di antara kaum ketika Malaysia berusaha memperoleh kemerdekaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang pencabulan sehingga boleh menggugat keharmonian.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, akibat sikap rakyat serta pemimpin politik yang tidak mengambil berat untuk cuba memahami serta menghormati kontrak sosial, menyebabkan timbul pelbagai isu dan syak wasangka antara kaum kebelakangan ini.
The Mythical Social Contract
Tegas baginda, senario itu menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat Malaysia dan insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di Petaling Jaya baru-baru ini sebenarnya boleh dielakkan jika semua pihak saling menghormati sensitiviti di antara kaum.
“Rakyat di negara ini perlu tahu mengenai sejarah pembentukan kontrak sosial. Ia satu bentuk persetujuan dan persefahaman di antara kaum dan kita tidak boleh sama sekali melupakan asal-usul, (mesti) melihat kepada detik sejarah pembentukan negara.
“Beta (sehubungan itu) ingin menasihatkan kepada semua rakyat khususnya ahli-ahli politik agar tidak mengambil kesempatan dan membangkitkan isu-isu perkauman serta keagamaan demi kepentingan politik peribadi mahupun parti masing-masing.
“Jika ingin memberikan sesuatu pandangan, lakukan secara berhemah tanpa perlu mempersoal apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah Sultan Selangor sempena hari keputeraan baginda ke-73 di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Sempena sambutan hari keputeraannya, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan 114 darjah dan bintang kebesaran Selangor dengan adinda baginda, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, mendahului senarai penerima.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin turut menitahkan umat Islam di negeri ini jangan terlibat dengan kegiatan ektremisme atau ajaran-ajaran yang bertentangan dengan kepercayaan serta amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Beta menyarankan agar kerajaan dengan kerjasama pihak berkuasa agama sentiasa memantau kegiatan kumpulan yang mengamalkan ajaran sesat agar tidak berterusan mengelirukan umat Islam sehingga tidak dapat dikawal pada suatu hari nanti.
“Kita perlu sentiasa menjalankan intipan dan penguatkuasaan agar kegiatan mereka dapat dibenteras pada peringkat awal lagi dan beta tidak mahu kegiatan kumpulan ajaran sesat ini melahirkan golongan sesat dan ekstremis yang memecahbelahkan masyarakat,” titah baginda.