Kerjasama dengan Pas atau DAP: Zahid atau Nazri yang berbohong?


Penyatuan UMNO, PKR dan DAP seperti yang diucap Nazri untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak menyebut langsung kerjasama dengan Pas. Ini disahkan oleh mereka yang menghadiri perjumpaan itu.

(Astro Awani) – Kerjasama UMNO dengan Pas tidak akan menjadi kenyataan sendainya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak ikhlas dalam kata-kata mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas PRU-13, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat berkata, ia sekali gus membuktikan salah seorang atau mungkin kedua-dua pemimpin itu mempunyai lidah bercabang dan misi politik yang membelakangkan UMNO.

“Kesahihan itu terserlah apabila ‘roadshow‘ Mohamed Nazri yang dikatakan diberi restu Ahmad Zahid di beberapa bahagian tidak menggambarkan suara sebenar UMNO.

“Penyatuan UMNO, PKR dan DAP seperti yang diucap Nazri untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak menyebut langsung kerjasama dengan Pas. Ini disahkan oleh mereka yang menghadiri perjumpaan itu.

“Ia bercanggah dengan ucapan Ahmad Zahid sendiri semasa himpunan ‘kesyukuran’ penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka baru-baru. Beliau mahu Pas dan UMNO bersatu mulai sekarang,” katanya semasa ditemui pada Isnin.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO akan meneruskan kerjasama dengan Pas berhubung isu membabitkan Islam.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO dan Pas akan terus bekerjasama jika ada isu babitkan Islam dan Melayu.

Dalam pada itu kata Tengku Putra, situasi kini menjadi waktu paling sesuai untuk UMNO menjalin semula hubungan bersama Pas.

Jelasnya, kerjasama itu memberi impak positif untuk penyatuan Melayu pada Plihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

“Sedia maklum, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah berpesan supaya Pas berhati-hati dengan UMNO namun gelombang kebangkitan kini menjadi bukti kerjasama itu bukan lagi mustahil.

“Maka kita tidak mahu ada di kalangan pemimpin UMNO yang menjadi dalang membawa suara DAP melacuri penyatuan kuat ummah yang baru terjalin ini di kalangan UMNO dengan Pas, lebih-lebih lagi selepas perhimpunan ummah yang terbesar dibuat baru-baru ini.

“Lidah bercabang di antara mereka berdua ini akan menjadi penghalang dan menimbulkan kesangsian Pas untuk melihat penyatuan itu berlaku menjelang PRU15 kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Putra turut menasihati Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sedia ada untuk bersikap lebih tegas selepas melihat tingkah laku Ahmad Zahid dalam isu kerjasama dengan DAP seperti dinyatakan wakil yang direstuinya ke bahagian-bahagian UMNO.

“Mengapa minggu di mana kita kehilangan ramai ahli Parlimen UMNO, mesyuarat MT pula ditangguhkan ke satu hari yang akan diumum kemudian? Mana ‘sense of urgency‘ MT pada hari ini?

“Mengapa ada individu-individu di dalam MT menggunakan bahasa berkias mengatakan memang ada masalah dalam kepimpinan sementara ada pula yang meminta di belakang tabir agar akar umbi pula yang bertindak?

“Bukankah mereka (ahli MT) yang diberi kepercayaan dan mandat untuk membetulkan keadaan dari atas sekali gus melakarkan arah tuju parti untuk kita semua?” soalnya.

Tengku Putra turut berharap ada satu penjelasan mengenai agenda sebenar yang dibawa Ahmad Zahid.

“Adakah dia mahu bekerjasama dengan Pas atau DAP? Buat masa ini, kedua-duanya umpama minyak dengan air yang tidak boleh bercampur.

“Jika ada salah dari segi orang yang diberi restu telah bercakap bagi pihak Ahmad Zahid, maka haruslah diambil tindakan yang sewajarnya supaya akar umbi tiada was-was lagi di atas hala tujunya untuk kita.

“Apa yang penting, kita kukuhkan parti dan menjadi pembangkang yang kuat demi mencapai hasrat rakyat yang memberi kita kepercayaan tanpa meminta sedekah untuk memasuki Kerajaan melalui pintu belakang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tengku Putra juga meminta Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah memainkan peranan sewajarnya sama ada secara terbuka atau tertutup untuk mencari ‘jalan terhormat’ bagi menyelamatkan parti.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Ampang, Zulkifli Rajalie meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatannya selewat-lewatnya sebelum fajar tahun baharu 2019 lantaran gagal memberi hala tuju kepada parti selepas PRU ke-14.

Zulkifli menegaskan, Ahmad Zahid juga seharusnya menyedari beliau tidak lagi mendapat kepercayaan dari pemimpin dan ahli akar umbi untuk mengemudi parti ke arah yang lebih baik.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang enggan tunduk kepada desakan meletak jawatan segera dilaporkan, mengulangi pendirian kerjasama antara UMNO-Pas, tetapi menolak DAP.

Katanya, parti itu tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam-Melayu, sama ada yang dilakukan secara halus atau terang-terangan.



Comments
Loading...