Rahim Thamby Chik sertai PPBM


(Watan) – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik menjadi ahli UMNO terbaharu yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rahim Thamby berkata tindakan itu dibuat ekoran mendakwa UMNO kini berbeza dengan perjuangan membela kepentingan Melayu.

Menurutnya UMNO yang ada sekarang lebih membela pemimpin rasuah berbanding rakyat.

“Ramai pemimpin UMNO kini terpalit dengan pelbagai skandal termasuk berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) serta rasuah lain dan ia merebak pula kepada penjawat awam.

“Tidak nampak usaha untuk mencegah kegiatan itu sehingga menjadi barah yang sukar diubati lagi.

“Jelas, ia menunjukkan bahawa UMNO bukan lagi pembela orang Melayu tetapi lebih kepada mempertahankan pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa,” katanya lapor media sebelum menyerahkan borang keahlian PPBM kepada Ketua Pimpinan negeri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di Ayer Keroh, Melaka pada Ahad.

Mengulas lanjut, Rahim Thamby yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO turut berkata akan berjumpa dua lagi bekas Menteri Besar Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron bagi menjelaskan. mengenai hala tuju PPBM.

“Saya mahu jumpa Tan Sri (Mohd) Ali dan Datuk (Seri) Idris, nak bermuzakarah mengenai perkara ini. Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

 



Comments
Loading...