Dr. Mahathir boleh digulingkan melalui pilihan raya
(Utusan) – Usaha menggulingkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri boleh dilakukan, tetapi perlu menerusi pilihan raya umum.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, beliau tidak menerima apa-apa maklumat berhubung usaha menggulingkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri melibatkan pihak di dalam Pakatan Harapan (PH).
Sebagai sebuah negara demokrasi, baginya isu-isu sedemikian adalah perkara biasa jika membabitkan persaingan kuasa antara parti-parti politik yang ada.
“Perdana menteri boleh digulingkan (tetapi) melalui pilihan raya. Ada parti pembangkang (jadi) ia perkara biasa.
“Tetapi dari dalam PH sendiri? Saya belum terima maklumat tentang perkara itu,” katanya seperti dipetik dalam portal Malaysiakini hari ini.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa terdapat perancangan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menggulingkan Dr. Mahathir daripada jawatan Perdana Menteri.
Menyifatkan pihak tersebut sebagai ‘puak parasit’, Khairuddin menjelaskan, perkara tersebut dirancang oleh golongan yang kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawatan.-