PAS sudah memiliki banyak pulau di Kelantan dan Terengganu


Dr Ahmad Farouk Musa berkata PAS perlu beli sebuah pulau dan mengisytiharkannya sebagai Negara Islam (baca di bawah). Rasanya tak perlu untuk PAS beli pulau sendiri. Negeri Kelantan dan Terengganu yang dibawah PAS ada banyak pulau, antara pulau tercantik di Malaysia lagi — seperti Redang, Kapas, Perhentian Kecil, Perhentian Besar, dan banyak lagi, tidak ketinggalan Pulau Kambing di Kuala Terengganu dan juga Pulau Duyong di muara Sungai Terengganu.

MT Editorial Team

Beli pulau dan duduk di situ, aktivis beritahu PAS berhubung ucapan Krismas

(FMT) – Gesaan seorang pemimpin PAS supaya orang Islam tidak meraikan Hari Krismas mendapat tempelakan keras daripada pengkritik lantang Islam konservatif, yang berkata, parti Islam itu menderitai sindrom gagal menghargai ajaran Islam dan realiti kepelbagaian budaya.

“Barangkali telah tiba masanya PAS berfikir sama ada mereka perlu membeli sebuah pulau dan mengisytiharkannya sebagai Negara Islam serta tinggal di situ sesama mereka yang berkongsi pemikiran yang sama,” kata Dr Ahmad Farouk Musa kepada FMT.

Beliau memberi respons terhadap Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang berkata, Hari Krismas, yang merayakan kelahiran Nabi Isa, tokoh utama dalam ajaran Kristian yang turut dipandang tinggi oleh orang Islam, bercanggah dengan ajaran Islam.

Khalil, yang merupakan anak Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang, berkata, ini kerana penganut Kristian mempercayai Isa merupakan anak Tuhan dan kerana itu terjumlah sebagai perbuatan syirik, atau menyekutukan sesuatu dengan Tuhan.

Beliau berkata, walaupun orang Islam dibenarkan mengucap selamat kepada jiran tetangga beragama Kristian atas dasar hormat-menghormati, mereka tidak boleh secara “suka-suka” berbuat demikian di media sosial.

“Ia seolah-olah menunjukkan keredhaan kepada agama mereka,” kata Khalil.

Beliau juga berkata, hari kebesaran bukan Islam tidak boleh diraikan oleh orang Islam kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan agama yang salah, tetapi diizinkan jika hanya melibatkan perbezaan budaya.

Farouk, yang mengetuai Islamic Renaissance Front berkata, Khalil mempamerkan “jenis pemikiran yang tidak sesuai untuk hidup dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama.”

“Sejak bila orang Islam yang mengucap selamat sempena Hari Krismas mempercayai konsep tritunggal Tuhan?”, soal beliau.

“Apa-apa ucapan selamat untuk apa-apa juga perayaan sama ada yang berkaitan budaya atau kepercayaan, adalah tanda persahabatan dan rasa muhibbah.

“Bukankah Imam Ali berkata bahawa ‘seseorang itu sama ada merupakan saudaramu dalam agama, atau saudaramu dalam kemanusiaan?,” tambah Farouk.

 



Comments
Loading...