Selepas Dr Mahathir, adakah Anwar atau Azmin pilihan rakyat?
Perlu diingat Azmin ialah pilihan akar umbi PKR yang menang secara bertanding berbanding Anwar yang menang tanpa bertanding.
Timmy Say, Free Malaysia Today
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan berpegang pada janji untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2020. Di antara banyak-banyak janji manifesto yang gagal ditunai oleh Pakatan Harapan, inilah adalah janji yang bakal ditunaikan.
Rata-rata rakyat tahu betapa “tingginya” nilai sebuah janji, terutamanya janji yang keluar dari mulut ahli politik Malaysia.
Andaikan Dr Mahathir sememangnya bersedia untuk melepaskan jawatan pada tahun 2020, apakah Anwar akan “bersedia” dari segi imej, integriti dan kedudukan politik untuk menerimanya ketika itu?
Lebih penting lagi, apakah rakyat akan bersetuju untuk menerima Anwar sebagai PM?
Cara pengendalian pemilihan PKR yang terpalit dengan pelbagai kontroversi telah menimbulkan rasa was-was rakyat terhadap kepimpinan Anwar.
Contohnya, bagaimanakah Anwar boleh membisu dan membiarkan Rafizi Ramli mengumumkan cai yang termasuk anaknya Nurul Izzah ketika berkempen terhadap Datuk Seri Azmin Ali? Sesiapa pun tahu sistem cai sebeginilah yang memecahkan parti kerana ia menggalakkan undi kepada kem, bukannya berdasarkan prestasi individu.
Selain itu, rakyat juga tertanya-tanya kenapa Anwar membisu apabila Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution yang sepatutnya bersifat nuetral dalam mengendalikan proses pemilihan secara terang-terangan berkempen untuk Rafizi? Bukankah ini sejenis salah guna kuasa?
Bukan itu sahaja, cara Anwar mengumumkan pelantikan Rafizi sebagai naib presiden dan Saifuddin kekal sebagai setiausaha agung PKR turut menyebabkan rakyat garu kepala.
Meskipun Anwar berkata keputusan itu adalah keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, rakyat tertanya-tanya siapakah yang hadir dalam mesyuarat tersebut selepas Azmin dan ketua Wanita PKR membantah keputusan itu secara terbuka.
Persoalan yang lebih utama ialah mengapakah Anwar perlu mengumumkan pelantikan itu ketika Azmin sedang bercuti di Maghribi setelah ia tertangguh sekian lama?
Perlu diingat Azmin ialah pilihan akar umbi PKR yang menang secara bertanding berbanding Anwar yang menang tanpa bertanding.
Kesemua peristiwa yang berlaku dalam PKR ini memberikan imej yang sangat negatif terhadap kepimpinan Anwar. Rakyat yang rasional akan bertanya, apakah ini cara Anwar akan mentadbir negara?
Tahun 2019 akan menjadi tahun yang mencabar bagi Anwar dan PKR. Pertama, hubungan Anwar dan Azmin sudah tidak lagi seperti dulu.
Rafizi mendedahkan bahawa Azmin pernah meminta Anwar supaya memberikannya jawatan presiden PKR ketika beliau melawat Anwar di Turki sejurus selepas pembedahannya sedikit masa lalu. Anwar tidak pernah menafikan pendedahan Rafizi itu.
Persoalan lebih utama ialah bagaimanakah Rafizi boleh mengetahui perkara yang sebegitu sulit, iaitu perbualan antara 2 individu melainkan salah seorang mereka khianat?
Bukan itu sahaja, terdapat satu klip audio mirip suara Anwar yang tersebar luas yang menuduh Azmin sebagai barua Dr Mahathir juga menguatkan persepsi bahawa hubungan Anwar dan Azmin telah retak.
Meskipun dilawan Anwar dan terpaksa menghadapi sistem pemilihan yang tempang kerana pengendalinya berpihak kepada Rafizi, Azmin dan pasukannya tetap menang.
Masalah kedua Anwar ialah beliau telah kehilangan penguasaannya terhadap PKR. Azmin menguasai PKR dari atas ke bawah dan Anwar hanya mendapat jawatan presiden.
Melantik Rafizi dan Saifuddin kembali ke jawatan penting adalah helah terakhir untuk menunjukkan kepada khalayak di luar bahawa ‘beliau adalah bos PKR”, bukan timbalannya.
Namun helah ini tidak akan berupaya menghalang Azmin.
Mereka yang mengikuti politik Azmin tahu bahawa beliau akan bertindak balas. Ini masalah ketiga Anwar. Apakah “Langkah Azmin” seterusnya?
Azmin tahu masa depannya bersama Anwar dalam PKR sudah malap. Rekod beliau dalam permainan politik sedemikian memang cemerlang. Anwar sudah tentu tidak lupa bagaimana Azmin berjaya menjadi menteri besar Selangor meskipun tanpa restu parti.
Apakah Azmin akan mengulangi “stuntnya” menjadi menteri besar Selangor yang akan menyebabkan Anwar berputih mata pada 2020?
Berdasarkan persepsi terhadap Anwar, Azmin dan cara PKR ditadbir setakat ini, nampaknya rakyat tidak akan kisah jika Azmin mengulangi “stunt” itu sekali lagi pada tahun 2020 nanti.