Duit rokok rasuah, duit minyak bukan rasuah


(FMT) – DAP mendakwa terdapat perbezaan antara wang yang diagihkan wakil Pakatan Harapan (PH) kepada sukarelawan pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dengan “duit rokok” yang diberikan pemimpin Barisan Nasional kepada tok batin di kawasan itu pada PRU14.

Setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan berkata cubaan menyamakan agihan wang itu adalah tindakan tidak jujur untuk memperkecilkan atau “meringankan” kesalahan berat yang dilakukan semasa PRU14.

“Seperti yang dinyatakan Thomas Fann, pengerusi Bersih 2.0 dalam ulasannya kepada media mengenai insiden tersebut, membayar balik sukarelawan adalah sah di sisi undang-undang sekiranya bayaran itu adalah termasuk dalam RM200,000 yang dibenarkan sebagai perbelanjaan kempen dan diisytiharkan selepas pilihan raya tamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini tular beberapa individu memakai baju dengan logo PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands semasa penamaan calon, yang dikecam hebat pengguna media sosial termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN).

PH bagaimanapun mendakwa pengagihan wang itu adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet dilaporkan berkata pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PRK Cameron Highlands gabungan itu.

Syahredzan turut mengulas alasan penghakiman Petisyen Pilihan Raya Cameron Highlands berhubung kes sogokan wang oleh calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU14.

“Dalam Petisyen itu, isu yang perlu ditentukan hakim pilihan raya adalah sama ada terdapat mana-mana orang yang memberi wang kepada mana-mana pengundi, dan jika ya, sama ada wang itu diberikan untuk bagi mendorong pengundi untuk mengundi.

“Ini adalah intipati bagi kesalahan menyogok di dalam Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Katanya, hakim juga mendapati dalam insiden itu, wang yang diberikan kepada pengundi diberikan untuk mendorong mereka untuk mengundi dalam bentuk “duit rokok”.

Beliau menambah, Sivarraajh juga tidak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya itu.

“Sivarraajh tidak pernah mengutarakan alasan individu yang diberikan wang ini adalah sukarelawan kempen BN semasa PRU14.

“Mengikut dapatan fakta, individu yang dibayar adalah tok batin dan pengundi, dan wang yang diberikan adalah untuk mendorong mereka supaya mengundi,” katanya.

Pada 30 Nov lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh di Parlimen Cameron Highlands, mengatakan ada pembelian undi besar-besaran seperti yang didakwa oleh calon DAP, M Manogaran.

PRK Cameron Hihlands yang dijadualkan pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, BN dan 2 calon Bebas.

PH meletakkan bekas calon kerusi Cameron Highlands dalam PRU14 daripada DAP, M Manogaran, sementara BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor dan 2 calon Bebas, iaitu Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

 



Comments
Loading...