PAS, Umno mesti pimpin umat jadi ‘Muflihun’
(Harakah) – Resepi kejayaan umat Islam adalah apabila meletakkan dan mengikut syariat Allah S.W.T sebagaimana golongan yang dipuji-Nya dengan panggilan ‘Muflihun’ di dalam al-Quran.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, namun walaupun umat Islam diseru lima kali sehari kepada kejayaan, tetapi masih menjadi umat yang ditertawakan oleh pihak lain.
Sedangkan katanya, umat Islam di negara adalah teramai dengan 63 peratus dari populasi rakyat Malaysia berbanding penganut lain yang terbahagi dengan lebih banyak agama dan kepercayaan.
Puncanya jelas beliau, kerana umat Islam tidak berpegang kepada tuntutan Islam dengan sebenarnya, bahkan bertoleransi pula dengan kesalahan yang berlaku dalam kalangan sendiri.
“Yang berkembang daripada kecil menjadi besar dan akhirnya menjadi liabiliti kepada parti sendiri. Mungkin ini adalah pengajaran yang perlu PAS ambil juga terhadap apa yang berlaku kepada Umno hari ini, minta maaf.
“PAS sekalipun, walaupun kita parti Islam, kalau kita tidak mengamalkan Islam, apa yang berlaku pada Umno boleh berlaku pada PAS. Prinsipnya, mana-mana parti sekalipun, kena berpegang kepada Islam.
“Menegak perkara yang betul, mengajak dan menyuruh kepada kebaikan. Nampak perkara tidak baik di kalangan kita, perbetulkan,” ucapnya mengajak muhasabah yang menginsafkan seluruh hadirin.
Seruan itu diutarakannya pada Ceramah Perpaduan Ummah Johor dengan turut melibatkan pimpinan PAS, Umno dan NGO yang dilangsungkan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, kelmarin.
Kerana itulah jelas beliau, PAS menerusi Presidennya telah menggagaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sebagai pendekatan terbuka untuk merentas sempadan bekerjasama dalam kebaikan.
Semua itu terangnya, demi kebaikan ummah tanpa ada halangan-halangan buruk hingga sebenarnya memberi kesan tidak baik kepada Islam, di mana antaranya bertegas dengan prinsip pada perkara benar atau salah baik dilakukan rakan mahupun lawan.
“Ini yang digariskan oleh kepimpinan dalam PAS bahawa apa yang memberi kebaikan kepada ummah, melalui konsep yang memberi kebaikan, maka kita tidak ragu-ragu. Kita boleh bekerjasama atas konsep ‘ta’awun’ dalam kebaikan,” ujarnya.