Anwar Ibrahim rampas BERSIH selepasnya ia sudah berjaya
Disebabkan oleh Raja Petra dan kumpulan Bersih yang memperjuangkan pilihanraya yang adil dan bersih, hasilnya dapat dilihat pada pilihanraya umum tahun 2008. Barisan Nasional, yang sentiasa mendapat majoriti dua-pertiga didalam parlimen semenjak tahun 1974, pertama kalinya tidak dapat majoriti dua-pertiga.
SD Salleh
Kita sering mendengar dan terlihat dengan kumpulan Bersih. Identiti mereka ialah baju yang berwarna kuning sebagai simbol lambang Diraja, memegang sepanduk dan berhimpun tidak kira tua atau pun muda dengan niat dan agenda yang sama. Agenda kumpulan Bersih ini adalah untuk memperjuangkan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama.
Agenda Bersih yang diperjuangkan sekarang ini tidak lagi sama seperti yang dahulu. Bersih yang dahulunya memperjuangkan demokrasi dan keadilan tetapi sekarang tidak lagi. Terutama sekali selepas Pakatan Harapan menang PRU14.
Tahukah anda bahawa kumpulan Bersih ini lahir pada tahun 2007. Ianya hasil dari sekumpulan blogger, aktivis, NGO dan dari pihak pembangkang ketika itu dan juga ahli Umno. Iya, ahli Umno juga terlibat dalam pembentukan Bersih. Kesemua mereka mencapai kata sepakat untuk memperjuangkan pilihan raya yang adil dan juga bersih dari segala penipuan dan taktik kotor yang boleh mencemarkan pilihan raya di Malaysia. Yang Mulia Raja Petra Al Haj bin Raja Kamarudin ketika itu merupakan orang yang paling penting dalam pembentukan kumpulan Bersih ini kerana hubungan beliau dengan istana.
Kenapa warna kuning? Bersih memilih warna kuning sebagai warna tema mereka kerana pengasas Bersih berpegang teguh kepada institusi raja berlembagaan dan untuk menunjukkan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan pada ketika itu DYMM Agong adalah Sultan Terengganu) dan Raja-Raja Melayu.
Ada dari pihak pembangkang ketika itu tidak bersetuju untuk menggunakan warna kuning sebab mereka tidak menyokong pemerintahan beraja ataupun monarki. Mereka lebih menyokong kepada sistem republik. Jadi, syarat ini dilonggarkan untuk mereka memakai baju yang berwarna merah (iaitu warna sosialis) untuk perhimpunan yang pertama Bersih pada November 2007.
Perhimpunan pertama Bersih pada 10 November 2007 disertai seramai 40,000 orang. Perhimpunan ini juga mendapat liputan meluas dari media Malaysia dan media antarabangsa. Mereka mula berhimpun di Dataran Merdeka, Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek dan berarak menuju ke Istana Negara. Perhimpunan dan perarakan ini adalah bertujuan untuk membawa memorandum dan menyerahkannya kepada DYMM Agong.
Raja Petra berusaha mengambil pendekatan dengan Istana Negara. Beliau mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk menyerahkan memorandum yang melibatkan ‘electoral reform’ itu kepada Tuanku. Dan memorandum ini diserahkan kepada Istana Negara atas hasil usaha Raja Petra dan juga Arwah Tunku Amash Tunku Adnan yang memain peranan sebagai ‘orang tengah’ dengan Istana Negara.
Disebabkan oleh Raja Petra dan kumpulan Bersih yang memperjuangkan pilihanraya yang adil dan bersih, hasilnya dapat dilihat pada pilihanraya umum tahun 2008. Barisan Nasional, yang sentiasa mendapat majoriti dua-pertiga didalam parlimen semenjak tahun 1974, pertama kalinya tidak dapat majoriti dua-pertiga.
Oleh kerana kejayaan Raja Petra dan kumpulan Bersih ini menjadi sejarah untuk perubahan landskap politik di Malaysia. Anwar Ibrahim yang pada mulanya tidak ingin terlibat dan masuk campur dari pembentukan hingga kewujudan Bersih ini telah mula mengorak langkah untuk mengambil alih Bersih. Anwar merampas Bersih dan melancarkannya semula pada April 2010 dengan nama yang baru, yang dipanggil Bersih 2.0.
Inilah sejarah yang perlu semua orang tahu tentang pembentukan BERSIH yang bermula dari idea sehinggakan ianya menjadi sejarah lanskap politik di Malaysia. Titik peluh dan penat lelah Raja Petra Kamarudin dan rakan-rakannya dalam pembentukan Bersih yang asal, dan juga beberapa orang dari mereka yang kini sudah arwah dan tidak lagi bersama kita, perlu diingati.