Pakatan tidak akan melindungi Tengku Zulpuri, kata Wan Azizah


(Malaysiakini) – Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan jentera dan aset kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, kata Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail.

Ini kerana, katanya, perkara itu sepatutnya sudah jelas dan bertepatan dengan dasar kerajaan persekutuan yang ketika ini diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Kalau betul dan terbukti bersalah, ia tetap salah… kita sudah bagi peringatan supaya semua (jentera) kerajaan tidak digunakan atau disalah guna (untuk PRK Cameron Highlands).

“Kita cuba untuk elakkan semua bentuk kontroversi… macam saya hari ini pun datang dengan kenderaan sendiri.

“Cuma disebabkan saya ada jawatan lain (timbalan perdana menteri), jadi adalah polis yang mengiringi (kenderaan)… itu pun saya cuba jarakkan kenderaan dengan kumpulan pengiring,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama Penduduk Kampung Keledek, dekat Lipis, hari ini.

Wan Azizah mengulas mengenai insiden membabitkan Ahli Parlimen Raub merangkap Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang jelas salah guna kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ketika berkempen pada PRK Cameron Highlands, hujung minggu lalu.

 



Comments
Loading...