SPR minta tegur calon PH pakai baju logo parti masuk pusat mengundi
(FMT) – Pihak pemantau pilihan raya diminta menegur calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pagi ini jika dilihat memakai pakaian mempunyai logo parti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana pihak, termasuk calon adalah dilarang membawa logo atau memakai baju parti dalam jarak 50 meteri dari tempat mengundi.
“Saya telah diberitahu sebentar tadi (tentang tindakan Manogaran pakai baju parti), pihak pemantau pilihan raya perlu menegurnya (Manogaran).
“Kawasan 50 meter dari pusat mengundi tidak dibenarkan membawa bahan kempen, termasuk lambang parti,” katanya ketika ditemui media selepas memantau proses mengundi di SJKC Brinchang dekat sini.
Dalam perkembangan lain Azhar berkata, sebanyak 33% pengundi keluar mengundi sehingga jam 10 pagi, hari ini.
Katanya, jumlah itu agak tinggi dan mengharapkan sasaran SPR sebanyak 70% mengundi tercapai.
“Perjalanan proses agak lancar, dan sehingga jam 10 pagi peratusan keluar memgundi ialah 33%. Angka itu tinggi, kita harap ramai lagi akan keluar mengundi,” katanya.
Seramai 31,639 pengundi di Cameron Highlands membuat pilihan hari ini siapakah yang akan mewakili suara mereka di Parlimen itu selepas 14 hari berkempen.
Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran mewakili PH; bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN); serta 2 calon Bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.
Semua 29 pusat mengundi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai dibuka tepat pukul 8 pagi tadi bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut SPR, 29 pusat mengundi yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; 5 (2 petang); 9 (3 petang); satu (3.30 petang); 7 (4 petang) dan 6 (5.30 petang).
Proses pengundian awal PRK Cameron Highlands bagi 247 anggota polis diadakan pada 22 Jan lalu di Balai Polis Brinchang di sini dan Balai Polis Sungai Koyan di Lipis.
SPR menyasarkan 70% pengundi keluar mengundi hari ini dan menjangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.