Pasca PRK Cameron Highlands: DAP semakin ‘besar kepala’


Oleh Anuar Shaari

1. Sebagaimana kempen DAP bermula dengan pincang, begitulah juga dengan penutup kempen pada 26 Januari semalam. Calon DAP melakukan kesalahan serius dengan memakai logo parti bertanding di dalam pusat mengundi. Kesalahan ini boleh membawa denda dan penjara, tambahan pula calon DAP itu telah 3 kali bertanding di kawasan pilihanraya Cameron Highlands. Kesalahan ini dikesan dengan bukti bergambar dan sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Namun telah ada bunyi-bunyi yang menyatakan mengapa nak bising-bising lagi? BN dah pun menang bergaya PRK kali ini!

2. Ingin ditegaskan, ini bukan soal BN dah menang atau PH/DAP dah kalah. Ini adalah soal melakukan kesalahan dan yang salah tetap salah. Memohon maaf bukan tiket untuk menutup kesalahan. Lebih-lebih lagi DAP dan calonnya telah banyak kali memohon maaf atas kesalahan-kesalahan lain.

3. DAP memulakan kempen PRK Cameron Highlands dengan langkah sumbang. Menghina Orang Asli dengan kenyataan orang Melayu tidak akan membeli kuih mereka. Ini kenyataan rasis dan menghina Orang Asli. Setelah dikecam dan takut kehilangan undi, DAP mohon maaf. Mungkin tiada aduan kerana kempen belum bermula secara rasmi, namun ia tetap salah kerana menghina.

4. Sekutu DAP Senator Bob Nolan dari PKR telah mengugut mana-mana Tok Batin yang tidak menyokong calon DAP dari kerajaan PH akan digugurkan jawatan mereka dan tidak akan dibayar gaji. Supremo DAP Lim Kit Siang tampil membela senator ini dengan ‘tai-chi’ senator itu tidak melakukan kesalahan. Setelah rakaman audio senator tersebut tersebar, beliau meminta maaf kerana insiden tersebut. Lim Kit Siangpun diam dalam hal ini biarpun menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk melakukan jenayah ugut yang merupakan kesalahan serius. Tiada tindakan dari pihak berkuasa.

5. Petugas DAP/PH dikesan melalui bukti bergambar ketika sedang mengagihkan wang tunai kepada pengundi Cameron Highlands. Sekali lagi supremo DAP Lim Kit Siang tampil mengatakan ia adalah agihan ‘duit minyak’ kepada petugas DAP/PH. Ini sangat bertentangan dengan apa yang DAP usahakan sehingga PRK Cameron Highlands diadakan semula. Hakim berkata pemberian wang tunai dalam apa jua bentuk semasa pilihanraya adalah rasuah dan ia salah. Namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan dari berkuasa terhadap DAP/PH.

 

6. Sebuah kereta yang dipandu petugas PH dikesan melakukan kesalahan pilihanraya. Setelah melalui beberapa proses, petugas tersebut dikesan dengan bukti rakaman video beliau telah memandu sebuah kereta agensi kerajaan bagi melakukan tugas pilihanraya. Setelah disiasat lebih lanjut, akhirnya terbongkar seorang timbalan menteri DAP terlibat memalsukan permohonan kereta dan menggunakan kereta tersebut (aset kerajaan) bagi kerja-kerja pilihanraya. Ini adalah perbuatan khianat dan penyelewengan kuasa yang sangat serius.

7. Malangnya sehingga artikel ini ditulis, tiada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa. BERSIH yang diketahui kecenderungan mereka, yang konon serius memantau dan mahukan pilihanraya bersih, menikus dan ber’tai-chi’ mahu SPR mengambil tindakan. Tiada kecaman besar-besaran terhadap kesalahan DAP ini. ‘One man show‘ Pengerusi SPRpun tidak memberikan apa-apa kenyataan serius tentang 2 kesalahan besar DAP dalam PRK Cameron Highlands kali ini. Apakah Azhar Harun juga berharap isu yang membabitkan kesalahan DAP ini reda setelah kemenangan bergaya BN di Cameron Highlands?

Telahan umum bahawa DAP adalah abang besar dalam PH adalah benar. Tiada sekutu PH yang mengecam dengan serius kesalahan-kesalahan yang dilakukan DAP. PKR, PAN dan PPBM diam seribu bahasa bila DAP melakukan kesalahan, dan inilah natijahnya keputusan pasca PRU-14, DAP semakin ‘besar kepala’ walaupun BN telah menang di PRK Cameron Highlands.

Tahniah buat BN dan semua petugasnya atas kemenangan bergaya semalam. Semoga ini meningkatkan lagi daya usaha kita bagi menjamin kemenangan berterusan dan jihad kita memerangi DAP yang semakin ‘besar kepala’ di bumi Malaysia ini…

 



Comments
Loading...