Dilema Anggota dan Pegawai Rendah Polis Tiada Penghujung


Mehmed Gibran

1. Sudah lama saya ingin menulis mengenai perkara ini, namun hari ini benar-benar kekecewaan saya sudah tidak tertanggung lagi  mengenangkan meskipun sudah berada dalam tahun 2019 namun mutu pengurusan sebuah jabatan yang penting di negara ini masih berada dalam takuk lama, ketinggalan dan terkebelakang.

2. Dalam “negara polis” seperti Malaysia ini (semua perkara berlaku dalam negara ini pasti melibatkan pasukan polis) tadbir urus, kecekapan pengurusan dan piawaian standard pasukan ini masih ditakuk lama dan memalukan.

3. Jika tuan/puan pembaca mengunjungi pusat-pusat latihan polis di seluruh negara termasuk Maktab Polis Cheras kita akan berasa hairan dan sedikit malu dengan betapa ketinggalannya pengurusan pusat-pusat latihan ini yang daif, tidak diuruskan dengan baik dan tidak selesa. Memang benar sesebuah pusat latihan bagi anggota dan pegawai polis tidaklah perlu semewah hotel atau pusat peranginan namun bagi
menyediakan seorang individu awam kepada seorang anggota polis yang berintegriti tinggi, berkarisma dan sedia berkorban untuk negaranya, isu paling asas seperti pusat latihan ini wajar diberikan perhatian serius.

4. Setelah tamat kursus asas polis, anggota dan pegawai polis ini akan mula melaporkan diri di Kontigen Polis yang diarahkan dan mula menjalankan tugas yang diberikan di balai-balai polis ataupun di IPD. Bagi yang bernasib baik, mereka akan diletakkan di balai-balai baru yang bersih dan nyaman. Bagi yang kurang bernasib baik, mereka terpaksa menjalankan tugas dengan suasana daif hingga alat tulis
seperti kertas A4 dan pen pun tidak disediakan bagi anggota yang berkhidmat di situ.

5. Tidak cukup dengan itu, berek-berek polis yang katanya telah diubahsuai dan dinaiktaraf pula hanya indah khabar dari rupa. Dari luar memang berek-berek ini nampak indah dengan dicat biru-putih yang bersih. Namun jika tuan/puan tinjau ke dalam ianya sangat mendukacitakan, kotor dan tidak diselenggara. Di sini nanti anggota polis ini akan membesarkan anak-anak mereka dan menjalani kehidupan mereka.

6. Apabila anggota polis yang mempunyai masalah keluarga (berjauhan suami/isteri, ingin menjaga ibu bapa yang sedang sakit atau sebagainya) ingin memohon untuk berpindah keluar dari kontigen semasa kepada kontigen kelahiran, mereka ini akan dilayan dengan layanan yang buruk dan sangat mendukacitakan. Bagi yang mempunyai kenalan di Bukit Aman, laluan mereka akan lebih mudah, namun bagi anggota polis berpangkat rendah yang naif mereka terpaksa menebal muka mohon temujanji yang tidak pernah dapat dengan Cawangan Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman. Tambah-tambah lagi baru-baru ini Ketua Penolong Pengarah (KPP) perjawatan Bukit Aman, SAC Dato’ Kasuahdi Ali telah mengeluarkan arahan kepada ketua-ketua jabatan/ OCPD agar tidak meluluskan pertukaran yang dibuat oleh anggota /pegawai yang mahu bertukar ke kontigen kelahiran. Walau apa pun alasan Cawangan Perjawatan, Bukit Aman ini, sebagai manusia semua orang wajib didengari masalahnya.

7. Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman selalu mengadakan lawatan dan semakan ke atas balai-balai polis dan IPD di seluruh negara. Rata-rata pegawai dari JIPS ini seakan-akan syok sendiri dengan laporan yang dikeluarkan hingga hampir tiada tindakan yang diambil apabila lawatan tersebut tamat. Jadi untuk apa JIPS ini datang? Adakah SOP ditambah baik? Adakah keseronokan bekerja anggota meningkat? Atau adakah layanan kepada pelanggan (rakyat) makin baik?

8. Semua cerita yang saya surahkan diatas tentunya hanya sekelumit dilema yang terpaksa ditelan oleh anggota dan pegawai polis. Apabila mereka mengadu nasib kepada pihak atasan, soalan yang sama ditanya: kenapa dulu nak jadi polis? Tentunya pegawai atasan ini yang selesa dengan gaji atau habuan lain yang diterima sukar untuk memahami keluh kesah anggota atau pegawai bawahan.

9. Saya harap Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditubuhkan kelak wajib melihat isu pengurusan pasukan polis ini sebagai satu keutamaan untuk reformasi pasukan ini agar ianya selari dengan zaman.

10. Saya doakan kepada semua anggota dan pegawai polis yang jujur dan amanah berkhidmat untuk negara akan terus dibela sewajarnya.

Mehmed Gibran, Kuala Lumpur



Comments
Loading...