PH bimbang keutuhan muafakat pembangkang


(Harakah) – Muafakat pembangkang yang semakin utuh dari hari ke hari menjadi wajah baharu dalam politik tanah air hingga menyebabkan kebimbangan kepada Kerajaan PH.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hala tuju politik negara pada masa kini sedang ditentukan dari dua gagasan politik yang sedang bertembung.

Jelas beliau, ianya menjadi signal bahawa pertembungan politik selepas ini adalah secara dua penjuru melibatkan PH yang memerintah Pusat dan muafakat pembangkang di satu pihak lagi.

Menurutnya, ketika muafakat pembangkang semakin utuh, PH pula sedang retak menanti belah, kerana tidak tentu hala tujunya serta saling berbalah antara satu sama lain.

“Muafakat politik dua parti Melayu terbesar dalam negara; Umno dan PAS menunjukkan kita boleh bersama dalam perkara prinsip dan asas iaitu Islam-Melayu dan Bumiputera,” hujah beliau.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini seolah-olah keseorangan tanpa sokongan dari parti lain di dalam PH sebagaimana beberapa tindakannya yang dilihat tidak disokong.

Antaranya ujar Ustaz Khalil, adalah ketegasan Tun Mahathir menghalang atlet Israel datang ke negara ini bagi Sukan Paralimpik Renang yang dijadualkan di Sarawak asalnya.

“Parti Bersatu punya hala tuju sendiri. DAP dan PKR juga punya hala tuju sendiri. PAN kita tak tahu dia nak tuju ke mana? Jadi ini menunjukkan, walaupun tidak sampai setahun pembentukan Kerajaan Persekutuan bawah PH, sudah ada keretakan.

“Di sini menjadi satu keperluan kepada parti-parti pembangkang khususnya PAS dan Umno untuk mengukuhkan lagi muafakat bagi memberi satu harapan yang benar kepada rakyat. Bukan harapan yang bohong, yang mengkhianati, yang menipu rakyat.

“Harapan tinggal harapan, tetapi tiada harapan sebenarnya. Yang ada ialah penipuan, pengkhianatan. Diviral anak muda hari ini, bukannya Pakatan Harapan, tapi Pakatan Hancing,” bidasnya.

Menurut Adun Batu Buruk itu, pimpinan PH sedang menutup kesilapan dan kesalahan janji-janji mereka yang tidak ditunaikan dengan menyerang PAS menerusi pelbagai tuduhan.

 



Comments
Loading...