Suka hati kami kepada siapa kami sewa, kata pemilik rumah
(FMT) – Pemilik rumah menolak dakwaan rasis dan diskriminasi dalam pemilihan bakal penyewa, susulan laporan mengatakan Putrajaya sedang merangka undang-undang baru untuk menangani diskriminasi kaum dalam pencarian rumah sewa.
Pemilik rumah memberitahu FMT, mereka mempunyai hak untuk memilih penyewa berdasarkan kriteria, termasuk kewarganegaraan, bangsa dan jantina.
Nur Azizi Abdul Haji, yang memiliki rumah di Kerinchi, berkata hanya kerana sesetengah pemilik memilih kriteria tertentu tidak menjadikan mereka rasis.
“Kadang-kadang, mereka membuat pilihan itu untuk memudahkan pemilik dan penyewa,” katanya.
“Tuan rumah mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka mahu beri sewa. Lagipun, itu harta mereka. Sekiranya terdapat sebarang risiko, tuan rumah yang bertanggungjawab.”
Namun, dia mengakui tidak mudah bagi mereka yang ditolak oleh tuan rumah yang lebih memandang pada kaum atau jantina tertentu.
Akta Rumah Sewa, yang diumumkan pada Isnin, bertujuan untuk melindungi pembeli rumah dan penyewa daripada diskriminasi.
Ia berikutan insiden tuan rumah enggan menerima penyewa kerana etniknya.
Bagaimanapun, Azizi mencadangkan agar undang-undang itu tidak dikenakan kepada tuan rumah, sebaliknya kerajaan menggubal undang-undang untuk melindungi tuan rumah daripada penyewa yang hilang tanpa jejak.
“Apabila tuan rumah mahu memfailkan laporan polis terhadap penyewa, tiada tindakan diambil kerana ia hanya hak penyewa. Bagaimana pula dengan kami?”
Seorang lagi tuan rumah yang mahu dikenali sebagai Foo berkata dia lebih menerima penyewa Cina kerana sensitiviti budaya.
“Katakan kami hanya mengambil orang Cina sebagai penyewa. Jika tiba-tiba kami menawarkan bilik kepada Melayu Islam juga, akan ada masalah dari segi persekitaran, kebersihan dan sebagainya.
“Kami tidak rasis,” katanya. “Ada perkara tertentu yang perlu kami ambil kira.”
Sementara itu, Siti Kariman menyewakan apartmentnya di Sungai Besi kepada penyewa Melayu Islam selama 7 tahun.
Katanya, dia menawarkan sewa kepada orang Melayu kerana dia tidak mahu penyewa beragama Islam berasa tidak selesa dengan kehadiran kaum lain.
Seperti Foo dan Azizi, katanya, pemilik rumah mempunyai hak untuk memilih penyewa mereka.
Rais Yeop Johari, seorang ejen harta tanah, bersetuju dengan pandangan itu.
“Rumah itu milik tuan rumah, jadi mereka mempunyai hak,” katanya kepada FMT. “Penyewa harus mencari tempat lain jika mereka ditolak untuk menyewa.”
Dia juga mempersoalkan perlunya akta terhadap tuan rumah kerana mempunyai kriteria tertentu dalam menyewakan rumah mereka.
“Ia adalah hak pemiliknya. Ia adalah perkara demokrasi. Penyewa harus mengikut peraturan yang dikenakan oleh pemiliknya.”
Sebaliknya, kumpulan hak asasi, Pusat Komas menyambut baik langkah kerajaan untuk merangka akta itu, mengatakan ia langkah pertama untuk menghapuskan diskriminasi kaum.
“Merangka undang-undang sedemikian akan memastikan semua rakyat di Malaysia, tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan, atau asal-usul bangsa atau etnik, menikmati kedudukan yang sama dalam hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam kehidupan mereka.
“Undang-undang dan dasar yang mempromosikan kesaksamaan adalah penting di Malaysia baru.”
Ia menambah kerajaan harus berunding dengan pihak berkepentingan berkaitan ketika merangka undang-undang dan dasar sedemikian, untuk memastikan mereka selaras dengan piawaian antarabangsa.