Malaysia Remit Bayaran Penangguhan HSR – Kementerian Pengangkutan Singapura


(Bernama) – Malaysia sudah meremitkan bayaran kepada Singapura sebagai ‘abortive cost’ (kos menarik diri) berikutan penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Singapura, dalam satu kenyataan hari ini, berkata republik itu sudah ‘menerima pengesahan Kerajaan Malaysia menerusi surat diplomatik’ mengenai bayaran yang diremitkan itu.

Pada 5 September 2018, Singapura bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan projek itu sehingga akhir Mei 2020.

Menyusuli permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek berkenaan, kerajaan bersetuju membayar kos menarik diri sebanyak S$15 juta (RM45.6 juta) kepada kerajaan Singapura sebelum esok.

Pertukaran dokumen perundangan antara kedua-dua negara dilakukan di Putrajaya, berhubung perubahan Perjanjian Dua Hala HSR berdasarkan persefahaman terbaru ini.

Khidmat HSR Ekspres antara Singapura dan Kuala Lumpur dijangka bermula pada 1 Januari 2031, bukan lagi mengikut perancangan asal bagi memulakan projek berkenaan pada 31 Disember 2026.



Comments
Loading...